PRN Melaka: BN di persimpangan, pilih PH, PN atau 'kahwin dua'

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) kini berdepan dilema strategik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila kedudukannya yang dominan memberi ruang untuk memilih sama ada terus bersama Pakatan Harapan (PH), mendekati Perikatan Nasional (PN) atau mengambil pendekatan lebih fleksibel.

Pendekatan itu termasuk mengekalkan persefahaman taktikal bersama PH dan PN di kerusi tertentu, tanpa terikat kepada satu formula politik untuk seluruh negeri.

Iklan
Iklan

Dilema itu menarik kerana BN memasuki gelanggang PRN Melaka bukan sebagai gabungan yang perlu mengejar semula pengaruh, sebaliknya dengan rekod menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka 2021.

Pada pilihan raya itu, PH hanya memperoleh dua kerusi manakala PN turut memenangi dua kerusi, sekali gus meletakkan BN pada kedudukan jauh lebih kukuh berbanding dua pesaing berkenaan di peringkat negeri.

Iklan

Dengan kedudukan itu, BN mempunyai kelebihan untuk menentukan bentuk kerjasama yang paling menguntungkan berdasarkan kekuatan dan risiko di setiap DUN, bukannya semata-mata terikat kepada satu formula politik untuk seluruh negeri.

Pendekatan berkenaan juga membuka kemungkinan BN mengikat kerjasama rasmi dengan satu gabungan, pada masa sama mengekalkan persefahaman taktikal dengan satu lagi gabungan di kerusi tertentu.

Iklan

Namun, strategi 'kahwin dua' itu bukan tanpa risiko kerana PH dan PN kekal sebagai pesaing utama di peringkat nasional dengan naratif politik yang berbeza.

Jika tidak diurus dengan jelas, fleksibiliti BN itu boleh menimbulkan kecelaruan kepada pengundi dan pada masa sama menguji penerimaan akar umbi parti.

Lebih penting, formula kerjasama yang dipilih BN di Melaka mempunyai implikasi melangkaui PRN kerana ia boleh mempengaruhi kedudukan parti berkenaan menuju PRU16.

Pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menolak formula tertentu sekiranya digunakan di Melaka, misalnya, menunjukkan bahawa sebarang keputusan perlu mengambil kira penerimaan dalaman parti, bukan hanya pertimbangan matematik kerusi.

Dalam perkembangan sama, BN mempunyai satu lagi kelebihan iaitu tidak perlu membuat keputusan berdasarkan acuan negeri lain.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini menegaskan, pendekatan di Melaka tidak semestinya mengikut acuan Johor atau Negeri Sembilan, sekali gus memberikan ruang kepada BN meneroka formula tersendiri.

Jika memilih PH, BN boleh mengekalkan kesinambungan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan selain mengurangkan pertembungan sesama rakan kerajaan.

Bagaimanapun, formula itu berdepan cabaran daripada sebahagian akar umbi Melayu dan UMNO yang mungkin melihat kerjasama berkenaan tidak memberikan kelebihan politik yang mencukupi kepada parti.

Jika memilih PN pula, BN berpotensi memanfaatkan penyatuan undi Melayu yang kuat di kawasan DUN tertentu, tetapi langkah itu boleh memberi kesan terhadap hubungan dengan rakan politik di peringkat Persekutuan.

Atas sebab itu, kedudukan BN sebagai kingmaker memberikan parti berkenaan ruang untuk menimbang kepentingan setiap formula sebelum membuat keputusan muktamad.

Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi pula melihat kedudukan itu sebagai kelebihan BN untuk menentukan hala tuju tanpa didesak mana-mana pihak.

Melaka akhirnya berpotensi menjadi 'makmal politik baharu' untuk menguji sejauh mana BN boleh menggunakan kekuatan 21 kerusi yang dimenanginya pada 2021 bagi mengekalkan penguasaan negeri, tanpa menghakis identiti tradisi dan kerusi deposit UMNO.

Persoalan sebenar bukan lagi sama ada BN mempunyai kekuatan untuk menang, tetapi dengan siapa BN mahu menang dan berapa besar harga politik yang perlu dibayar selepas kemenangan itu.