KUANTAN - Dua lori dan sebuah treler disita selepas didapati membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had yang dibenarkan dalam Ops Rentas Sempadan di sempadan daerah Kuantan dan Kemaman di sini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, lori membawa muatan batu dan treler dengan muatan besi bar itu telah disita di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 untuk tindakan lanjut
Menurutnya, tiga kenderaan perdagangan disita itu antara 43 kes kesalahan membawa muatan berlebihan direkodkan dalam operasi selama tiga hari, bermula dari 18 hingga 20 Ogos lalu.
"Daripada jumlah tersebut, 122 notis saman dan 180 lain-lain notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, pelaksanaan operasi menyasarkan kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan itu sebahagian usaha berterusan JPJ Pahang dan Terengganu bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pengangkutan jalan, khususnya berkaitan had muatan kenderaan perdagangan.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan secara berterusan akan terus dilaksanakan bagi membendung kesalahan membawa muatan berlebihan yang boleh menjejaskan kestabilan kenderaan serta menyumbang kepada kerosakan jalan raya, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.
"Semua pengusaha dan pemilik kenderaan perdagangan diminta agar sentiasa mematuhi had muatan yang ditetapkan demi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya," ujarnya.