Rahsia 9 bulan dapat sijil halal

Iklan
PESERTA program turut dibawa melawat premis Luckin Coffee di Menara Hextar, Petaling Jaya.

Luckin Coffee dedah perancangan dapatkan sijil halal dibuat sebelum premis dibuka

PERSEDIAAN untuk mendapatkan sijil halal bukan sesuatu yang hanya bermula selepas permohonan dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebaliknya ia dibuat lebih awal sebelum sesebuah perniagaan mula beroperasi.

Itulah pendekatan yang diamalkan Luckin Coffee Malaysia apabila jenama kopi dari China itu memasuki pasaran Malaysia dengan menjadikan aspek halal sebahagian daripada perancangan perniagaan sejak hari pertama.

Iklan
Iklan

Eksekutif Kanan Halal dan Pematuhan Luckin Coffee Malaysia, Nur Mawaddah Mohd Azhar berkata, keputusan membina sistem halal lebih awal menjadi antara faktor utama syarikat itu berjaya memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi dua premis pertamanya dalam tempoh kira-kira sembilan bulan.

“Apabila memulakan proses mendapatkan sijil halal, sebenarnya ia telah bermula lama sebelum permohonan dihantar kepada Jakim.

Iklan

Beliau berkata demikian pada program 9 Bulan: Rahsia Dapat Halal anjuran Human Resources Development Corporation dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) sempena National Training Week (NTW) 2026 di Menara Hextar, Petaling Jaya baru-baru ini.

NUR MAWADDAH

Iklan

Menurutnya, pendekatan itu membuahkan hasil apabila pada 16 September 2025, bersempena sambutan Hari Malaysia, Luckin Coffee menerima pensijilan halal bagi dua premis pertamanya di Sunway Velocity 2 dan AEON Maluri.

Kedua-dua premis itu kemudian dijadikan model pembelajaran untuk pembukaan premis baharu, sekali gus membantu syarikat mempercepatkan proses pematuhan halal di cawangan seterusnya.

Prinsip ‘Luckin Framework’

Bagi memastikan sasaran itu dicapai, Luckin Coffee membangunkan Luckin Framework iaitu kerangka kerja dalaman berasaskan prinsip pematuhan halal dan diamalkan secara menyeluruh oleh organisasi.

Nur Mawaddah berkata, antara prinsip utama kerangka itu ialah kepimpinan kerana organisasi perlu mempunyai matlamat yang sama.

Namun, tanggungjawab itu tidak diletakkan di bahu pemimpin semata-mata. Setiap kakitangan perlu memahami peranan masing-masing.

Katanya, jawatankuasa halal turut diwujudkan bagi memastikan setiap jabatan memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing termasuk pemasaran, rantaian bekalan dan operasi.

LUCKIN COFFEE kini mempunyai 120 premis dengan 59 daripadanya mempunyai sijil halal Jakim.

“Kerjasama antara semua staf sangat penting. Kita libatkan setiap jabatan dalam aspek halal supaya mereka mempunyai rasa memiliki terhadap sistem halal itu sendiri,” katanya.

Bagi memastikan pematuhan sentiasa berada pada landasan yang betul, perkembangan halal dipantau menerusi mesyuarat berkala dan paparan digital yang menunjukkan status latihan, audit serta pematuhan.

Malah, syarikat turut menjalankan simulasi audit dengan pasukan dalaman bertindak sebagai juruaudit bagi memastikan pekerja memahami perkara yang perlu dilakukan ketika audit sebenar.

Halal budaya kerja harian

Menurut Nur Mawaddah, pematuhan halal perlu dijadikan sebahagian daripada amalan harian dan bukan sekadar tugasan ketika audit.

“Budaya halal perlu sentiasa diperkukuh menerusi pembelajaran berterusan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pekerja.

“Kami pastikan perkara ini berlaku secara semula jadi dan normal dalam amalan harian,” katanya.

NUR MAWADDAH berkongsi ilmu dan pengalaman Luckin Coffee mendapatkan sijil halal selama sembilan bulan.

Luckin Coffee kini mempunyai 59 premis yang memperoleh pensijilan halal, dengan 57 daripadanya berjaya diperoleh dalam tempoh kira-kira enam bulan.

Syarikat itu menyasarkan kira-kira 100 premis memperoleh sijil halal pada tahun 2026 daripada keseluruhan 120 premis yang kini beroperasi di seluruh negara.

Tambah Nur Mawaddah, kejayaan mendapatkan pensijilan halal dalam tempoh sembilan bulan bukan kerana wujudnya jalan pintas.

“Kepimpinan menunjukkan arah, setiap jabatan memainkan peranan dan semua staf melakukannya dengan betul,” katanya.