RIYADH - Impian Arab Saudi membina sebuah kota futuristik di tengah gurun melalui projek mega Neom semakin jauh daripada gambaran asal apabila kos melambung, pembinaan tertangguh dan kerajaan mula mengetatkan perbelanjaan.
Neom diperkenalkan pada 2017 sebagai antara projek utama Visi 2030, agenda Putera Mahkota, Mohammed Salman (MBS) untuk mempelbagaikan ekonomi negara dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak.
Projek itu pada asalnya dibayangkan sebagai wilayah berteknologi tinggi yang menampilkan bandar tanpa kereta, tenaga bersih, resort mewah, pusat industri dilengkapi infrastruktur luar biasa.
Ikon utama projek itu ialah The Line, bandar linear sepanjang 170 kilometer yang dirancang menempatkan sehingga sembilan juta penduduk dalam dua struktur pencakar langit bercermin.
Namun, realiti pembinaan menunjukkan betapa sukarnya merealisasikan projek pada skala sedemikian.
Selepas lebih AS$50 bilion (RM201 bilion) dibelanjakan, Neom kini melalui proses penyusunan semula besar-besaran.
Laporan terkini media antarabangsa menunjukkan pembinaan The Line hampir terhenti manakala visi asalnya dikecilkan dan pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat berdasarkan permintaan serta kemampuan menjana keuntungan.
Lebih membimbangkan, bajet Neom bagi tempoh 2026 hingga 2030 dilaporkan memperuntukkan sehingga AS$16 bilion (RM64 bilion) untuk menamatkan kontrak jangka panjang.
Sebuah projek kereta api berkelajuan tinggi itu pula terpaksa ditamatkan selepas kira-kira 20 peratus daripada pembinaannya siap.
Tekanan itu menggambarkan masalah lebih besar iaitu cita-cita Neom berkembang jauh lebih pantas berbanding kemampuan kewangan dan pelaksanaan di lapangan.
Kos pembinaan yang tinggi, kelewatan, cabaran kejuruteraan serta pelaburan asing yang tidak mencapai sasaran menjadikan model pembangunan mega itu semakin sukar dipertahankan.
Pada masa sama, Riyadh kini lebih menumpukan projek yang mempunyai pulangan ekonomi dan tarikh siap yang jelas termasuk Expo 2030 serta persiapan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.
Hal ini menunjukkan perubahan daripada pendekatan mengejar projek ikonik kepada strategi yang lebih berorientasikan pulangan. Namun, Neom belum boleh dianggap mati sepenuhnya.
Komponen seperti Oxagon, hab industri dan pelabuhan di Laut Merah, masih diberi perhatian kerana mempunyai potensi komersial yang lebih nyata.
Projek tenaga hijau dan infrastruktur digital turut dilihat lebih praktikal berbanding cita-cita asal membina kota sepanjang ratusan kilometer.
Nasib pusat peranginan Sindalah turut menjadi pengajaran. Projek bernilai berbilion dolar itu tidak pernah dibuka kepada orang awam walaupun dilancarkan secara besar-besaran pada 2024.
Syarikat milik kerajaan Red Sea Global dijangka mengambil alih projek berkenaan dalam usaha menghidupkan semula pembangunannya.
Secara keseluruhannya, Neom mungkin belum boleh dianggap gagal sepenuhnya, namun visi mega yang pernah diperkenalkan kepada dunia hampir pasti tidak lagi dapat direalisasikan seperti yang dirancang.
Saudi kini perlu membuat pilihan sukar antara meneruskan projek itu sebagai lambang cita-cita dan kemegahan negara dengan kos yang tinggi atau mengecilkan skopnya agar lebih selari dengan kemampuan serta realiti ekonomi semasa.
Perubahan itu bukan sekadar mengecilkan skala sebuah projek bandar, sebaliknya mencerminkan perubahan besar dalam strategi Riyadh daripada mengejar visi futuristik seakan fiksyen sains kepada pembangunan yang lebih sederhana, berperingkat dan mampu memberikan pulangan ekonomi sebenar.