MERAK Jalanan tengok ramai yang tersenyum sejak LRT3 mula beroperasi. Selepas bertahun-tahun melihat tiang, jejambat dan stesen dibina, akhirnya tren yang ditunggu-tunggu itu boleh dinaiki orang ramai.
Bagi Merak Jalanan, LRT3 berita baik, terutama kepada penduduk sekitar Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Selama ini, ramai terpaksa menghadap kesesakan setiap hari. Keluar rumah awal pagi, tetapi sampai ke pejabat tetap lambat juga.
Iklan
Iklan
Semalam, Merak Jalanan sempat merasa menaiki LRT3 selepas perkhidmatan itu mula berbayar. Ingatkan suasananya masih sesak seperti ketika tempoh percuma, tetapi rupa-rupanya tidak. Penumpang tidak terlalu ramai dan perjalanan terasa lebih tenang serta selesa.
Keadaannya berbeza berbanding ketika tambang masih percuma. Ramai yang mengambil kesempatan mencuba laluan baharu tersebut. Ada yang menaikinya ke tempat kerja dan tidak kurang juga sekadar mahu berjalan-jalan bersama keluarga.
Perjalanan percuma bermula pada 29 Jun dan sepatutnya berakhir pada 31 Julai. Tempoh itu kemudian dilanjutkan sehingga 14 Ogos. Mulai 15 Ogos, pengguna perlu membayar tambang seperti biasa, termasuk bas perantara dan kemudahan Park N’ Ride.
Walaupun sudah berbayar, LRT3 masih membantu orang ramai jimatkan kos minyak, tol dan parkir. Lebih penting, tidak perlu lagi memegang stereng berjam-jam sambil menahan sabar apabila jalan raya sesak.
Kalau perjalanan lebih mudah dan tekanan menghadapi kesesakan dapat dikurangkan, tambang yang dibayar mungkin berbaloi. Cuma nampaknya, selepas tidak lagi percuma, barulah Merak Jalanan dapat duduk dengan lebih selesa!