ISU curang terutama membabitkan hubungan sulit di tempat kerja seolah-olah semakin menjadi-jadi.
Merak Jalanan kasihan melihat nasib seorang rakan yang terpaksa berdepan ujian rumah tangga selepas mengesan perubahan sikap suaminya.
Demi keluarga, rakan Merak Jalanan sanggup berhenti kerja dan jadi suri rumah. Mereka dikurniakan lima cahaya mata dengan anak bongsu baru berusia enam bulan.
Namun pengorbanan itu seakan-akan tidak bermakna apabila si suami mula menunjukkan sikap sebaliknya.
Si suami tiba-tiba kerap pulang lewat, malah ketika cuti pun ada sahaja alasan untuk bekerja.
Pada mulanya, rakan Merak Jalanan cuba bersangka baik. Namun lama-kelamaan hatinya mula tidak sedap.
Sehinggalah satu panggilan masuk ke telefon suaminya. Nama yang tertera ialah 'Nash'. Apabila dijawab, kedengaran suara perempuan.
Sejak kejadian itu, syak wasangka mula bermain di fikiran. Sampailah suatu hari, rakan Merak Jalanan nekad mengekori suaminya dengan membawa kesemua anak mereka.
Barulah terbongkar siapa gerangan 'Nash' itu. Rupanya, individu berkenaan ialah 'Nashrah', rakan sekerja suaminya yang didakwa mempunyai hubungan istimewa dengannya.
Jangan pelik, apabila batas pergaulan tidak dijaga, hubungan profesional boleh bertukar menjadi hubungan yang melampaui batas.
Dalam kisah rakan Merak Jalanan ini, mujurlah suaminya sedar dan memilih untuk kembali kepada isteri serta anak-anaknya.
Buat para suami di luar sana, ingatlah bahawa kepercayaan isteri bukan sesuatu yang boleh dipermainkan. Jagalah batas pergaulan walaupun dengan rakan sekerja.
Apabila kepercayaan sudah retak, bukan mudah untuk membinanya semula.