BANJIR kilat masih berlaku dan terus cetus kebimbangan. Kesannya, kenderaan terperangkap banjir, laluan jalan raya tidak boleh dilalui serta menjejaskan premis perniagaan mahu pun kediaman.
Biar pun hujan tidak lama, tapi sesetengah kawasan sudah pun terjejas, kalau ikut pemerhatian Merak Jalanan, situasi sedemikian kerap berlaku hari ini.
Asalkan hujan lebat seketika, ada kawasan khususnya di sekitar Lembah Klang sudah dinaiki air.
Bagi Merak Jalanan, biarpun cuma banjir, ia sudah tentu mendatangkan rasa cemas kepada pengguna jalan raya.
Ada penunggang motosikal yang jatuh, kereta terperangkap dan hampir ditenggelami. Siapa yang hendak dipersalahkan?
Apa yang Merak Jalanan terfikir di mana tanggungjawab pihak berwajib? Mana kontraktor yang dilantik? Kalau isu ini timbul sudah pasti mencetuskan polemik tidak sihat dan pelbagai andaian daripada masyarakat.
Mungkin puncanya saluran longkang tersumbat. Tapi di mana pihak yang menguruskan perkara ini?
Sengaja Merak Jalanan hendak cerita, awal Oktober lalu, tular seorang pemuda sanggup masuk ke dalam longkang hampir dua jam ketika hujan bagi membersihkan saliran tersumbat di laluan Taman Perling, Johor Bahru.
Bagi Merak Jalanan, isu ini mungkin dianggap kecil sesetengah pihak, tapi hakikat impaknya adalah besar.
Faktanya, banjir kilat menyebabkan risiko ancaman nyawa serta keselamatan bukan sahaja kepada penduduk, pengguna jalan raya tapi juga petugas penyelamat.
Merak Jalanan anggap, langkah sistematik perlu diambil segera kerana sektor pembangunan semakin pesat, namun memalukan apabila isu banjir kilat gagal ditangani.
Kelemahan menangani sesuatu isu pasti menonjolkan kelompangan dalam pentadbiran pemerintahan.