MERAK Jalanan perasan ramai ibu bapa meluahkan perasaan di media sosial mengenai keselamatan anak-anak mereka ketika berada di sekolah walaupun kadang-kadang ia lebih kepada soal 'perangai' anak mereka sendiri.
Tingkah laku anak-anak di sekolah tidak semestinya sama di hadapan ibu bapa, malah ada yang seperti mempunyai dua watak, lemah lembut di rumah, tapi buas di sekolah.
Ada ibu bapa yang melepaskan tanggungjawab tersebut kepada guru dan akan menyalahkan pihak sekolah sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini di situ.
Sekadar contoh, ada ibu bapa yang menyalahkan guru kerana tidak memerhatikan gerak geri anaknya yang jatuh di sekolah, sedangkan untuk setiap guru kelas, purata murid yang perlu dijaga adalah sekitar 25 hingga 30 orang.
Lalu Merak Jalanan terfikir, takkan pula kalau anak jatuh di sekolah guru yang salah.
Mungkin sudah dipesan berkali-kali agar si murid tidak berlari-lari atau bergurau berlebih-lebih dengan rakan.
Tapi yang dipersoalkan kenapa begitu, kenapa begini. seolah-olah guru perlu bertindak seperti kamera litar tertutup (CCTV) sepanjang masa.
Tentunya isu sama juga berlaku setiap kali ada kes buli di sekolah.
Apakah ibu bapa sekarang ini terlalu protective, atau memang perlu ada satu kaedah untuk memantau murid-murid di sekolah sepanjang masa, tidak lagi hanya pengajaran dan pembelajaran?
Bagi Merak Jalanan, peranan guru di sekolah sudah selesai, tetapi dalam masa yang sama, ibu bapa juga tak boleh lepas tangan terutama melibatkan soal disiplin murid-murid.
Apa pun halnya, mereka itu anak kita. Tentulah kita yang perlu ambil tanggungjawab.