IPOH - Barisan Nasional (BN) perlu bersedia menghadapi pilihan raya dengan berdiri di atas kekuatan sendiri tanpa perlu memusuhi rakan parti yang lain.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pengundi jelas memahami pendirian, nilai serta tawaran yang dibawa BN.
Menurutnya, dalam landskap politik semasa yang tidak menentu dan penuh kecurigaan, BN perlu tampil sebagai gabungan yang berprinsip, telus dan mampu menjelaskan setiap pendirian kepada rakyat.
"Sebenarnya, kita tidak mahu membiarkan pengundi keliru tentang siapa BN, apakah nilai yang dibawa dan apakah tawaran kita kepada negeri serta negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup Bengkel Latihan Pilihan Raya MCA Perak di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Hang Soon menegaskan, kerjasama politik mungkin berlaku mengikut keadaan, namun ia tidak boleh mengaburkan identiti, prinsip dan tanggungjawab kita kepada pengundi.
"BN sudah terbukti dan teruji sebagai sebuah keluarga besar yang dapat menyatupadukan rakyat pelbagai kaum melalui kerjasama parti komponennya," katanya.
Pengerusi MCA Perak itu berkata, pengundi kini semakin matang dan menilai jurang antara janji manifesto dengan prestasi sebenar sesuatu parti.
Katanya, rakyat mahu melihat penyelesaian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, kepercayaan terhadap institusi serta keupayaan wakil rakyat menyelesaikan masalah mereka.
“Sebagai ahli politik, kita tidak perlu menghina atau memarahi sesiapa. Sebaliknya, kita perlu membawa perbandingan yang tertib, berasaskan fakta dan pengalaman sebenar rakyat.
"Tugas kita ialah mendengar, memperbaiki kelemahan dan meyakinkan mereka bahawa BN telah belajar serta bersedia untuk bekerja dengan lebih baik," katanya.