PASIR MAS - Dentuman kuat dari arah Narathiwat, Selatan Thailand, malam tadi sehingga menggegarkan kediaman, menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di sempadan Malaysia-Thailand termasuk Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang, di sini.
Ismail Abdul Rahman, 50, dari Kampung Lubok Gong berkata bunyi seakan-akan guruh disusuli pancaran cahaya di langit itu, kedengaran dan kelihatan jelas dari kediamannya menyebabkan keluarganya memberi perhatian terhadap suasana di luar rumah.
"Bunyi dari arah negara jiran itu sangat kuat seperti dentuman di langit ketika kilat. Rumah terasa bergegar, kami terus berjaga-jaga dan tertanya-tanya punca kejadian.
"Kami sekeluarga tidak keluar dan terus berada di dalam rumah sehingga keadaan kembali tenang,” katanya kepada Bernama hari ini.
Malik Zulkarnain, 35, dari Kampung Tersang, turut mendengar dentuman berkenaan, namun berkata bunyinya agak berbeza daripada guruh.
"Memang jelas kedengaran dari arah seberang. Kami tidak tahu apa yang berlaku, jadi kami terus berada di dalam rumah.
"Penduduk juga mengambil perhatian terhadap perkembangan di sebelah sempadan, namun keadaan kembali tenang selepas itu,” katanya.
Malik berkata setakat pagi ini, tiada kejadian luar biasa di Kampung Tersang dan penduduk meneruskan aktiviti harian seperti biasa.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pagi ini mendapati, operasi dan aktiviti orang ramai berjalan seperti biasa serta dalam keadaan terkawal.
Kawasan sekitar Rantau Panjang juga kelihatan tenang dengan penduduk meneruskan urusan harian, manakala tiada gangguan ketara dikesan di kawasan sempadan Malaysia.
Penduduk di kedua-dua kampung berkenaan, bagaimanapun berharap keadaan di sebelah sempadan kekal terkawal dan sebarang perkembangan yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk berhampiran dapat dipantau pihak berkuasa.
Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang antara kawasan penempatan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, menyebabkan bunyi kuat dari arah negara jiran mudah didengari penduduk.
Media Thailand melaporkan wilayah Narathiwat, Patani dan Yala digegarkan siri letupan bom dan serangan serentak di lebih 51 lokasi, bermula kira-kira 8.15 malam tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan harta benda dan kebakaran, selain pihak berkuasa Thailand mengeluarkan arahan perintah berkurung di kawasan terjejas. -Bernama