TEHERAN – Iran menyifatkan California sebagai 'wilayah baharu' republik itu sebagai tindak balas terhadap hantaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menggambarkan Selat Hormuz sebagai 'wilayah baharu AS'.
Akaun media sosial rasmi Iran baru-baru ini memuat naik peta AS dengan California ditandakan warna biru, disertai tulisan: “Wilayah baharu Republik Islam Iran'.
Tindakan itu dibuat selepas Trump menerusi akaun Truth Social berkongsi imej peta Selat Hormuz yang dikelilingi bulatan, dengan tulisan 'New U.S Territory' (wilayah baharu AS).
Trump sebelum ini berkata laluan perairan strategik itu akan dijadikan wilayah AS selepas perang berakhir.
Rumah Putih kemudian memuat naik semula hantaran berkenaan menerusi akaun rasminya di platform media sosial X.
Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, turut membidas kenyataan Trump menerusi X.
“Delusinya mengenai Selat Hormuz tidak lama lagi sama ada akan diperbetulkan, atau kami akan membetulkan delusi lelaki yang delusional ini,” katanya.
California, khususnya kawasan Los Angeles, menempatkan komuniti terbesar penduduk berketurunan Iran di luar Iran.
Menurut Iranian Diaspora Dashboard yang dikendalikan Pusat Pengajian Timur Dekat Universiti California, Los Angeles (UCLA), kira-kira 141,000 rakyat Amerika berketurunan Iran menetap di Los Angeles County.
Komuniti Iran di California Selatan berkembang dengan ketara selepas Revolusi Islam Iran pada 1979.
Kawasan Westwood di Los Angeles kemudiannya menjadi antara pusat utama kehidupan diaspora Iran dan sering digelar 'Tehrangeles'.
Pertukaran kenyataan antara Teheran dan Washington itu berlaku ketika ketegangan antara kedua-dua negara semakin meningkat selepas beberapa bulan konflik.
Iran dan AS pada Jun menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertujuan menamatkan perang serta membuka laluan kepada perjanjian lebih menyeluruh.
Bagaimanapun, rundingan berkenaan terhenti susulan pertikaian mengenai pelaksanaannya, termasuk isu pelayaran melalui Selat Hormuz.
Dalam perkembangan berkaitan, rundingan melibatkan Iran dan Oman mengenai pengaturan pelayaran di laluan perairan strategik itu masih diteruskan, namun belum mencapai sebarang kejayaan ketara.-Agensi