KULAI – Beberapa individu dipercayai bertindak menutup laluan di Lebuhraya Linkedua bagi memberi ruang kepada penunggang motosikal berlumba sesama sendiri dalam aksi samseng jalanan yang tular di media sosial, kini diburu polis.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, sebelum itu pihaknya mengesan video kejadian di laman Facebook pada petang Sabtu.
Menurutnya, video berkenaan memaparkan dua motosikal yang nombor pendaftaran dan jenisnya tidak dapat dikenal pasti, bersaing sesama sendiri dari Kilometer (KM) 33, susur Tol Senai Utara hingga KM31, susur Johor Premium Outlet (JPO).
“Individu lain yang dipercayai berada di lokasi kejadian dan menyaksikan perbuatan tersebut dari tepi lebuh raya juga sedang dikesan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507.
Sebelum itu, tular video berdurasi 33 saat memaparkan tindakan sekumpulan individu dipercayai terlibat dalam perlumbaan haram dengan membuat sekatan terhadap pengguna lebuh raya lain dipercayai pada awal pagi.
Tindakan itu mengundang kecaman orang ramai dan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kumpulan terbabit yang didakwa menyusahkan pengguna jalan raya lain.