Selangor tidak mahu gagal urus makanan ruji - Izham

Iklan
Izham (kanan) melihat pameran wau kapal sempena Karnival Bendang 2026 di Parit 2 Timur di sini pada Sabtu.

SABAK BERNAM - Selangor tidak mahu gagal menguruskan bekalan makanan ruji apabila kebergantungan terhadap bekalan beras kini berada pada tahap 55 hingga 60 peratus.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, peningkatan produktiviti padi perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan negeri ini bergantung kepada bekalan import.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Selangor mempunyai lebih 17,000 hektar kawasan tanaman padi yang melibatkan lebih 9,000 pesawah.

"Kalau kita gagal dalam meningkatkan produktiviti, kita akan bergantung banyak lagi kepada (beras) import dan ini satu perkara yang kita perlu beri perhatian,” katanya ketika ditemui pada Karnival Bendang 2026 di Parit 2 Timur di sini pada Sabtu.

Iklan

Izham memberitahu, beberapa kaedah pembaharuan sedang diteliti bersama pihak berkaitan termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi meningkatkan hasil tanaman padi menerusi pendekatan selain kaedah konvensional.

Beliau menjelaskan, usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

Iklan

Dalam pada itu, Izham berkata, keadaan cuaca panas akibat fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan turut menjadi cabaran kepada sektor penanaman padi.

Beliau berkata, pihaknya kini meneliti perkembangan bekalan air bagi memastikan keperluan sawah mencukupi menjelang musim penanaman yang dijangka bermula bulan depan.

"Kita sedang meneliti perkembangan untuk memastikan bekalan air mencukupi sebab musim penanaman akan bermula bulan depan,” katanya.

Izham berkata, masalah penyakit tanaman padi turut perlu ditangani memandangkan tanaman itu dilakukan secara berulang pada kawasan sama.

Menurutnya, pendekatan tanaman bergilir antara kaedah yang sedang dilihat bagi meminimumkan risiko serangan penyakit yang berterusan.

"Bila penyakit (padi) itu belum hilang, musim kedua sudah datang dan ia akan berterusan seterusnya menjadi punca besar kepada masalah yang kita sedang hadapi," tambah beliau.