HULU SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh ke lereng bukit di sebelah kiri Jalan Rawang Bypass di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 40-an dipercayai dalam perjalanan dari Serendah menghala ke Gombak sebelum hilang kawalan ketika melalui satu selekoh.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan M Manimaran berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.20 malam.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi MT Abu @ Ramli menerusi talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.