Suami, isteri orang bawa dua anak kecil dicekup khalwat dalam bilik sewa

Iklan
Seorang wanita berstatus isteri orang yang membawa dua anak kecil berusia satu dan empat tahun ditangkap khalwat bersama suami orang dalam sebuah bilik sewa di rumah kedai.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita berstatus isteri orang yang membawa dua anak kecil berusia satu dan empat tahun ditangkap khalwat bersama suami orang dalam sebuah bilik sewa di rumah kedai dua tingkat di Pasir Gudang, awal pagi Sabtu.

Pasangan berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 2 pagi selepas menerima aduan awam mengenai kehadiran pasangan bukan mahram di premis berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut JAINJ, sepasukan penguat kuasa tiba di lokasi kira-kira jam 1.30 pagi sebelum melakukan pemeriksaan di tingkat atas premis berkenaan.

"Pintu bahagian bawah premis yang sudah ditutup pada waktu malam didapati tidak berkunci, membolehkan penguat kuasa naik ke tingkat atas.

Iklan

"Setibanya di atas, penguat kuasa mendapati beberapa bilik dipercayai dijadikan bilik sewa," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, pemeriksaan kemudian dijalankan di sebuah bilik selepas penguat kuasa mengetuk pintu namun tiada jawapan diberikan.

Iklan

"Bagaimanapun, penguat kuasa mengesyaki ada individu di dalam bilik berkenaan selepas mendapati kipas siling masih berpusing.

"Kira-kira lapan minit kemudian, pintu dibuka seorang wanita yang memakai seluar panjang dan baju-T berlengan pendek sebelum penguat kuasa memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki hanya berseluar panjang berada di atas katil bujang, selain dua kanak-kanak berusia empat dan satu tahun sedang tidur di atas tilam.

Menurut JAINJ, wanita berkenaan kemudian memaklumkan kedua-dua kanak-kanak itu adalah anak kandungnya hasil perkahwinan yang sah.

"Pasangan berkenaan kemudian mengaku mereka bukan suami isteri dan tidak mempunyai hubungan mahram.

"Lelaki itu juga mengakui berstatus suami orang dan bekerja di Johor Bahru, manakala wanita terbabit berstatus isteri orang serta tidak bekerja buat sementara waktu kerana menjaga anak," katanya.

Jelas JAINJ, hasil soal siasat mendapati kedua-duanya sudah mengenali antara satu sama lain lebih setahun ketika lelaki berkenaan melakukan pekerjaan sambilan sebagai pemandu e-hailing.

"Hubungan mereka menjadi semakin rapat selepas masing-masing berkongsi masalah rumah tangga.

"Lelaki itu mendakwa dia sudah tidak tinggal bersama isterinya berikutan masalah rumah tangga, manakala wanita terbabit mendakwa sedang melalui proses perceraian dan keluar dari rumah bersama dua anaknya," katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit turut mendakwa mahu membantu wanita berkenaan yang ketika itu tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan dengan menanggung sewa bilik serta perbelanjaan harian.

"Bagaimanapun, tindakan mereka tinggal bersama dalam sebuah bilik tetap menimbulkan persoalan kerana kedua-duanya masih mempunyai pasangan yang sah.

"Hasil pemeriksaan turut menemukan pakaian lelaki dan wanita bercampur di dalam bilik berkenaan," katanya.

JAINJ memberitahu bilik berkenaan hanya mempunyai sebuah katil dan tilam bujang serta tidak dilengkapi tandas, manakala penghuni berkongsi tandas di luar.

Katanya, pasangan berkenaan dipercayai sudah menyewa bilik itu sejak beberapa bulan lalu.

"Semasa pemeriksaan dijalankan, kedua-dua kanak-kanak itu turut terjaga selepas suasana menjadi kecoh.

"Penguat kuasa mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan kebajikan kanak-kanak berkenaan turut diberi perhatian," katanya.

Pasangan terbabit kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut peruntukan kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

"Kes berkenaan akan dirujuk untuk tindakan pendakwaan di Mahkamah Syariah," katanya.