DNeX perkukuh keuntungan pada 2QFY2026, disokong pendapatan lebih tinggi merentas semua segmen

Iklan
DNeX mengumumkan prestasi kewangan lebih kukuh bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), dengan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Kumpulan meningkat kepada RM32.7 juta berbanding RM9 juta pada 2QFY2025, disokong prestasi lebih baik dalam perniagaan Semikonduktor dan IT.

DAGANG NeXchange Berhad (DNeX) mengumumkan prestasi kewangan lebih kukuh bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), dengan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Kumpulan meningkat kepada RM32.7 juta berbanding RM9 juta pada 2QFY2025, disokong prestasi lebih baik dalam perniagaan Semikonduktor dan Teknologi Maklumat (IT).

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY2026), PBT Kumpulan meningkat 71 peratus kepada RM56 juta berbanding RM32.7 juta pada 1HFY2025, manakala Keuntungan Selepas Cukai (PAT) Kumpulan berjumlah RM44.9 juta, berbanding kerugian RM82.3 juta pada 1HFY2025.

Iklan
Iklan

Prestasi tahun sebelumnya termasuk caj cukai tertunda perakaunan sekali sahaja dan bukan tunai berjumlah RM105 juta susulan perubahan kepada Energy Profits Levy (EPL) di United Kingdom.

Hasil Kumpulan bagi 1HFY2026 berjumlah RM552.4 juta berbanding RM559.5 juta pada 1HFY2025, dengan hasil yang dilaporkan terjejas oleh kesan terjemahan mata wang susulan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan pound sterling.Tidak termasuk kesan terjemahan mata wang, hasil meningkat empat peratus tahun ke tahun.

Iklan

Tunai yang dijana daripada operasi pula meningkat lebih empat kali ganda kepada RM216.5 juta berbanding RM53.6 juta pada 1HFY2025, sekali gus menyokong perbelanjaan modal berjumlah RM179.5 juta merentasi aset semikonduktor dan tenaga Kumpulan.

Pada 2QFY2026, hasil Kumpulan meningkat lapan peratus tahun ke tahun dan enam peratus suku ke suku kepada RM284.8 juta.Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik meningkat 33 peratus tahun ke tahun kepada RM26.6 juta, manakala pendapatan sesaham asas meningkat kepada 0.76 sen daripada 0.57 sen pada 2QFY2025.

Iklan

Pegawai Bertanggungjawab Interim yang juga Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan DNeX, Vinie Chong Pui Ling berkata, peningkatan pendapatan mencerminkan manfaat daripada pengukuhan strategik, selain inisiatif pengoptimuman kos dan integrasi yang dilaksanakan di seluruh Kumpulan.

“Usaha ini telah mengukuhkan kedudukan kewangan kami, meningkatkan leverage operasi dan meletakkan Kumpulan pada kedudukan yang lebih kukuh serta berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi 2QFY2026, segmen Semikonduktor mencatatkan hasil RM187.4 juta, 21 peratus lebih tinggi berbanding RM155.3 juta pada 2QFY2025, disokong jumlah penghantaran lebih tinggi dan purata harga jualan yang lebih tinggi.

Produk Teknologi Baharu menyumbang 57 peratus daripada hasil segmen, meningkat daripada 45 peratus pada tahun sebelumnya.

PBT segmen berjumlah RM16 juta berbanding Kerugian Sebelum Cukai (LBT) RM28.9 juta pada 2QFY2025, mencerminkan hasil lebih tinggi dan peningkatan margin operasi.

Sementara itu, segmen tenaga mencatatkan hasil RM54.7 juta berbanding RM67 juta pada 2QFY2025 dan PBT RM7 juta berbanding RM24.9 juta. Hasil yang dilaporkan mencerminkan kesan terjemahan mata wang berikutan pengukuhan ringgit serta sumbangan lebih rendah daripada perniagaan hiliran.

Tidak termasuk kesan terjemahan mata wang, hasil huluan meningkat empat peratus tahun ke tahun, dengan jumlah pengeluaran meningkat 13 peratus kepada 153,600 tong berbanding 136,400 tong pada 2QFY2025. Purata harga minyak mentah direalisasikan turut meningkat lima peratus kepada AS$72.9 setong.

Perbandingan PBT tahun sebelumnya termasuk keuntungan pertukaran asing berjumlah RM14.4 juta. Tidak termasuk kesan pertukaran asing, PBT berjumlah RM7.1 juta berbanding RM10.5 juta sebelum ini, mencerminkan kos operasi lebih tinggi berkaitan kerja penyelenggaraan terancang di sebuah medan gas.

Segmen IT mencatatkan PBT RM21.7 juta, meningkat 40 peratus berbanding RM15.5 juta pada 2QFY2025, disokong hasil lebih tinggi dan peningkatan margin daripada perniagaan Fasilitasi Perdagangan.

Hasil segmen meningkat lima peratus kepada RM42.7 juta, didorong oleh peningkatan aktiviti perdagangan dan jumlah transaksi lebih tinggi yang diproses sepanjang suku berkenaan. Segmen ini terus disokong oleh kontrak jangka panjang yang memberikan keterlihatan hasil berulang.

Sehingga 30 Jun 2026, DNeX mengekalkan kedudukan tunai bersih yang kukuh dengan jumlah baki tunai RM694.7 juta berbanding pinjaman RM167.1 juta. Jumlah aset berjumlah RM3.6 bilion manakala jumlah ekuiti RM1.7 bilion.

Dalam segmen Semikonduktor, portfolio terus beralih kepada produk Teknologi Baharu bernilai lebih tinggi. Permintaan disokong kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berprestasi tinggi, elektronik automotif dan aplikasi pusat data.

Keutamaan Kumpulan kekal terhadap pengembangan kapasiti, pengoptimuman penggunaan dan peningkatan hasil, di samping kerjasama terpilih ketika rantaian bekalan global sedang melalui penjajaran semula.

Dalam segmen Tenaga, Kumpulan terus memberi tumpuan untuk memaksimumkan nilai daripada Anasuria Cluster yang sedang beroperasi di Laut Utara United Kingdom, selain meneruskan usaha ke arah pengeluaran minyak pertama di Abu Cluster, Malaysia.

Dalam tempoh berkenaan, Ping Petroleum Limited turut memperoleh 20 peratus kepentingan ekuiti dalam TI Exploration & Production Sdn Bhd, sebuah usaha sama dengan cabang tenaga Terengganu Inc, sekali gus memperkukuh kehadirannya dalam sektor huluan Malaysia.

Dalam segmen IT, Kumpulan terus membina kedudukan kukuh dalam sistem kerajaan dan fasilitasi perdagangan yang kritikal kepada operasi, dengan mengintegrasikan keupayaan awan dan AI ke dalam platform serta penawaran perkhidmatan sedia ada.

Segmen itu juga mengambil peranan lebih luas dalam inisiatif Makkah Route di Arab Saudi bagi musim Haji 2026, sekali gus membina kekuatan sedia ada dalam perniagaan fasilitasi perdagangan dan sistem kerajaan.

“Melangkah ke hadapan, kami kekal memberi tumpuan kepada pertumbuhan hasil dan kecemerlangan operasi dengan memacu kecekapan, disiplin kos dan produktiviti lebih tinggi merentasi perniagaan kami, di samping mengekalkan pengurusan modal yang berdisiplin serta peruntukan sumber secara berhemat.

“Objektif kami adalah untuk membina Kumpulan yang lebih berdaya tahan, menguntungkan dan mampan, dengan tumpuan jelas terhadap pertumbuhan jangka panjang serta penciptaan nilai untuk pemegang saham,” kata Vinie.