Excelscale lancar platform AI bersepadu di Malaysia, tawar akses kepada lebih 100 model AI menerusi satu API

Iklan
Ketua Pengurus ExcelScale Malaysia, Todd Abraham, berkongsi visi ExcelScale mengenai masa depan AI perusahaan, yang membolehkan perniagaan memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan keupayaan AI kepada aplikasi praktikal tanpa kerumitan menguruskan sistem yang berpecah-pecah.

ExcelScale melancarkan platform infrastruktur AI bersepadunya di Malaysia yang membolehkan organisasi mengakses lebih 100 model AI terkemuka menerusi satu API yang serasi dengan OpenAI.

Menurutnya, cabaran utama kini bukan lagi mengakses model AI sebaliknya menyepadukan dan menguruskannya secara selamat dan teratur.

Iklan
Iklan

Akaun penyedia, API, sistem pengebilan dan keperluan tadbir urus yang berbeza turut menambah kerumitan ketika perniagaan berusaha memperluas penggunaan teknologi tersebut.

Apabila organisasi di Malaysia mula menggunakan AI secara lebih meluas dalam pembangunan perisian, penyelidikan, penghasilan kandungan, analisis data dan aliran kerja dalaman, kebanyakan daripada mereka perlu menguruskan beberapa penyedia AI pada masa yang sama.

Iklan

Ketua Pengurus ExcelScale Malaysia, Todd Abraham (dua dari kanan), bersama (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif One Solutions System, Datuk Wira Tom Chia; Pengasas Bersama ExcelScale, Kay Cheng; dan Ketua Pegawai Eksekutif Sigmawave AI, Dan Lim, ketika melancarkan ExcelScale secara rasmi di Malaysia yang membolehkan perniagaan mengakses serta mengurus lebih 100 model AI terkemuka menerusi satu API.

Walaupun pendekatan ini menawarkan pilihan yang lebih luas, ia turut menimbulkan cabaran baharu dari segi keserasian antara sistem, tadbir urus dan pemantauan operasi, terutamanya apabila penggunaan AI melibatkan semakin banyak pasukan dan fungsi dalam organisasi.

Iklan

Pengurus Besar ExcelScale, Todd Abraham berkata, AI perusahaan kini telah berkembang ke satu tahap di mana akses bukan lagi menjadi halangan utama.

Ujar beliau, cabaran sebenar adalah untuk menggabungkan pelbagai keupayaan AI menerusi satu pendekatan yang praktikal, selamat dan mudah diurus oleh perniagaan.

“Fasa seterusnya dalam perkembangan AI perusahaan tidak akan ditentukan oleh jumlah model yang boleh diakses oleh organisasi, tetapi sejauh mana mereka mampu menyepadukan dan menguruskannya dengan berkesan.

“Perniagaan mahukan fleksibiliti untuk memilih model paling sesuai bagi setiap tugasan tanpa perlu menyediakan persekitaran teknikal yang berasingan setiap kali,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ExcelScale dibangunkan untuk menyediakan asas yang konsisten agar pengguna dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan aplikasi AI yang berguna, dan bukannya menguruskan sistem yang terpecah-pecah.

Menerusi API yang diseragamkan, organisasi boleh mengakses model yang menyokong penjanaan teks, pengecaman visual, sintesis suara, penghasilan video dan analisis data tanpa perlu membina semula integrasi bagi setiap penyedia.

Ini membolehkan pasukan teknikal memilih model berdasarkan keperluan setiap beban kerja sambil mengekalkan proses pembangunan dan pelaksanaan yang konsisten.

Ciri-ciri bertaraf perusahaan seperti kawalan akses, pengurusan kunci API, kebenaran penggunaan model yang boleh dikonfigurasikan, pilihan pelaksanaan melalui Virtual Private Cloud (VPC) dan pemantauan penggunaan membantu perniagaan menguruskan perkhidmatan AI secara lebih konsisten.

Pada masa sama, papan pemuka berpusat memberikan gambaran menyeluruh terhadap permintaan API, penggunaan token dan kos.

Bagi perniagaan, platform ini mengurangkan keperluan untuk menguruskan pelbagai sistem berasingan apabila inisiatif AI diperluas.

Ia membolehkan masa dan sumber yang sebelum ini diperuntukkan bagi penyelenggaraan infrastruktur disalurkan kepada pembangunan aplikasi yang meningkatkan produktiviti, memacu inovasi dan menambah baik operasi.

Jelas Todd, apabila AI semakin menjadi sebahagian daripada operasi harian perniagaan, organisasi memerlukan infrastruktur yang mampu berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.

"Visi kami adalah untuk membantu perniagaan menerapkan AI dengan lebih jelas dan terkawal.

“Dengan menyediakan cara yang lebih mudah bagi organisasi untuk mengakses dan menguruskan pelbagai model AI, kami berharap dapat membantu lebih banyak perniagaan memanfaatkan keupayaan AI untuk menghasilkan penyelesaian yang praktikal dan mampan,” katanya.