OSK Property Holdings Berhad (OSK Property) memeterai kerjasama strategik dengan RHB Bank Berhad (RHB) bagi menawarkan Pinjaman Perumahan dan Pengubahsuaian RHB kepada pembeli yang layak bagi projek rumah berteres terpilih yang masih dalam pembinaan.
OSK Property dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu merupakan yang pertama antara RHB dengan pemaju hartanah bagi penyelesaian pembiayaan berkenaan yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk pembelian hartanah siap dibina.
Menurutnya, kemudahan berkenaan kini diperluaskan kepada pembeli rumah berteres terpilih berharga RM300,000 dan ke atas di OSK Yarra Park dan OSK Taman Lang Aman di Sungai Petani, Kedah serta OSK Iringan Bayu di Seremban, Negeri Sembilan.
"Kemudahan tersebut membolehkan pembeli yang layak memohon dan menggabungkan pinjaman perumahan serta pinjaman pengubahsuaian ketika membeli hartanah.
"Ia sekali gus membantu mereka merancang keperluan pembiayaan keseluruhan dengan lebih awal," katanya.
OSK Property berkata, pinjaman pengubahsuaian akan disalurkan secara berperingkat bagi kerja yang diluluskan selepas hartanah siap dan semua syarat berkaitan dipenuhi, tertakluk kepada penilaian kredit serta terma dan syarat RHB.
Tambahnya, penyelesaian itu menawarkan margin pinjaman tambahan sehingga 30 peratus daripada nilai yang lebih rendah antara harga jualan hartanah atau nilai pasaran terkini, selain margin pinjaman perumahan sehingga 90 peratus.
"Margin tambahan berkenaan merangkumi pinjaman pengubahsuaian dan jika berkenaan, Perlindungan Gadai Janji Berkurangan (MRTA), Perlindungan Hayat Kredit Berjangka (CLTA) serta Kos Kemasukan Pembiayaan (FEC).
"Tempoh pembiayaan pula adalah sehingga 35 tahun atau sehingga pelanggan mencapai usia 70 tahun, mana-mana yang terdahulu," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Chu Wai Lune berkata, pemilikan rumah bukan sekadar membeli hartanah, sebaliknya turut melibatkan usaha mewujudkan kediaman yang memenuhi keperluan gaya hidup pemilik.
“Ramai pembeli hari ini mencari fleksibiliti lebih besar ketika merancang pengubahsuaian, kelengkapan dan penambahbaikan penting selepas menerima kunci rumah.
“Kami turut menyambut baik keputusan RHB memilih OSK Property sebagai rakan pemaju hartanah pertama bagi penyelesaian berkenaan yang dilihat mencerminkan keyakinan terhadap kualiti, nilai dan standard rumah yang dibangunkan syarikat," ujarnya.
Beliau berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk menjadikan pengalaman pemilikan rumah lebih praktikal, mudah diakses dan bermakna kepada pelanggan.
“Dengan bekerjasama bersama rakan yang mempunyai visi sama seperti RHB, kami dapat menawarkan nilai lebih besar kepada pembeli serta menyokong mereka dengan lebih lancar.
"Daripada proses pembelian hartanah sehingga mewujudkan kediaman yang memenuhi keperluan mereka dengan lebih yakin dan tenang,” katanya.