Jersi Trabzonspor Salah mula dijual di bazar bersejarah Kaherah

Iklan
Jesri Trabzonspor bernombor 10 milik Mohamed Salah mula menghiasi ruang pameran kedai sukan di bazar bersejarah Khan el-Khalili di Kaherah, hanya dua minggu selepas bintang bola sepak Mesir itu menyertai kelab Turkiye, - Foto: Anadolu Ajansi

JERSI Trabzonspor bernombor 10 milik Mohamed Salah mula menghiasi ruang pameran kedai sukan di bazar bersejarah Khan el-Khalili di Kaherah, hanya dua minggu selepas bintang bola sepak Mesir itu menyertai kelab Turkiye berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.

Banyak kedai sukan di pasar popular itu mempamerkan jersi Trabzonspor berwarna merah hati dan biru milik Salah bersama jersi pasukan kebangsaan Mesir yang tertera namanya.

Iklan
Iklan

Peminat bola sepak Mesir dan Arab turut berkongsi rakaman sambutan meriah yang diterima Salah di Turkiye, selain meluahkan rasa bangga dan gembira dengan perpindahannya ke Liga Super Turkiye.

Peniaga Salah Abdulmecid berkata, Khan el-Khalili, yang baru-baru ini dikunjungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, ialah antara destinasi pelancongan paling terkenal di Kaherah.

Iklan

"Kami gembira Salah berpindah ke Turkiye,” kata Abdulmecid kepada Anadolu.

"Kami menyayangi rakyat Turkiye kerana tradisi mereka hampir sama dengan kami dan mereka berpegang teguh kepada agama. Mereka menyayangi Salah seperti kami dan kami mahu beliau berada di Turkiye.”

Iklan

Seorang penyokong Salah yang melalui bazar itu mengenakan jersi Trabzonspor di luar sebuah kedai dan berkata:"Saya sangat gembira Salah berpindah ke Trabzon. Semoga Allah mempermudahkan dan memberkati perjalanannya di Turkiye.”

Menurut peniaga tempatan, jersi itu dijual pada harga antara 400 hingga 500 pound Mesir (AS$8 hingga AS$10).

Ahli sosiologi Mesir Said Sadik berkata, Salah kini menjadi tokoh"kuasa lunak” yang menghubungkan Mesir dan Turkiye serta elemen penting dalam hubungan yang semakin erat antara masyarakat kedua-dua negara.

Sadik mengingatkan bahawa nama Salah disebut ketika Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan rakan sejawatnya dari Mesir Badr Abdelatty tampil bersama semasa lawatan Fidan ke Mesir pada 14 Ogos.

"Rakyat Mesir sangat meminati Mohamed Salah. Malah mereka yang tidak kerap menonton bola sepak turut berusaha mengikuti perkembangan mengenainya, jadi sememangnya lumrah keterujaan ini turut dapat dilihat dalam penjualan jersi dan barangan sukan,” katanya.

Sadik berkata sambutan meriah yang diterima Salah di Turkiye juga menjadi petunjuk penting mengenai hubungan yang semakin kukuh antara rakyat Turkiye dan Mesir. - Bernama