PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengalihkan tumpuan kepada Grand Prix (GP) Australia di Litar Phillip Island hujung minggu ini dengan sasaran meraih keputusan positif dalam mengharungi baki saingan Kejuaraan Dunia MotoGP 2026.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu bertekad untuk bangkit selepas mengharungi perlumbaan mencabar di GP Indonesia apabila penalti grid memaksanya memulakan saingan dari petak terakhir.
“Persiapan saya menjelang GP Australia berjalan dengan baik dan saya sangat teruja untuk berlumba di Phillip Island kerana litar ini masih baharu bagi saya.
“Saya juga tidak sabar untuk beraksi di sana kerana melihat kepada litar itu, saya rasa ia sangat menarik. Saya menantikan sesi latihan pertama pada Jumaat ini,” katanya yang kini berada di kedudukan kesembilan dengan mengumpul 107 mata.
Menurut Hakim Danish, beliau menjalani latihan di Malaysia selain meneliti kesilapan dua perlumbaan terdahulu sebagai persiapan cabaran di Australia.
“Saya cuba baiki kelemahan dan mahu memberikan aksi terbaik minggu ini sebelum pulang untuk menghadapi perlumbaan di laman sendiri pada GP Malaysia dari 30 Oktober hingga 1 November ini.
“Kecederaan akibat kemalangan sebelum ini juga semakin pulih. Walaupun masih ada sedikit rasa sakit, keadaan itu bukan penghalang untuk saya terus berjuang dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Pada GP Indonesia, pelumba muda negara itu berjaya melakukan kebangkitan sehingga menghampiri kelompok 10 terbaik, namun insiden pada penghujung perlumbaan menyaksikannya menamatkan saingan di kedudukan ke-14.
Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Hakim Danish mengenai cabaran dan karakter Litar Phillip Island.
“Litar ini agak berbeza berbanding litar lain, terutama dari segi susun aturnya dan kedudukannya yang terletak berhampiran laut.
“Litar ini mempunyai ciri berkelajuan tinggi dan keadaan angin yang agak kuat. Cuaca di sana juga selalunya tidak menentu, terutama pada penghujung Oktober.
“Minggu lalu, saya turut meluangkan banyak masa bersama Hakim Danish untuk meneliti semula rakaman video perlumbaan serta merancang perkara yang perlu dilakukan ketika sesi latihan pada Jumaat nanti,” katanya.