Manchester City berisiko beraksi di Liga Kejuaraan selama dua musim

Iklan
City bakal menerima hukuman berat selepas didapati bersalah bulan lalu atas lebih 100 pertuduhan berkaitan pelanggaran peraturan kewangan.

MANCHESTER City berdepan kemungkinan menerima hukuman berat termasuk diturunkan ke saingan Liga Kejuaraan bagi tempoh dua tahun susulan tindakan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dijangka menggunakan sepenuhnya peraturan sedia ada terhadap kelab itu.

Situasi tersebut hadir ketika skuad kendalian Enzo Maresca mempamerkan permulaan cemerlang dalam saingan domestik musim ini apabila mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut di bawah kendalian pengendali baharu itu pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kejayaan di atas padang itu dibayangi ketidaktentuan masa depan kelab berkenaan selepas City dilaporkan didapati bersalah bulan lalu atas lebih 100 pertuduhan berkaitan pelanggaran peraturan kewangan.

City sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut dan tetap bertegas mampu membuktikan mereka tidak bersalah apabila mengemukakan bukti yang disifatkan sebagai tidak boleh disangkal di hadapan panel bebas.

Iklan

Sebarang hukuman yang dikenakan turut memerlukan pengesahan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL), namun badan itu dipercayai tidak bercadang untuk menghadkan bentuk hukuman yang mungkin dikenakan terhadap City pada peringkat ini.

Meskipun berdepan kemungkinan hukuman berat, City tidak dijangka disingkirkan serta-merta daripada EPL berikutan masalah besar yang boleh tercetus akibat tindakan sedemikian.

Iklan

Sebaliknya, kelab itu perlu menyelesaikan baki perlawanan musim ini mengikut jadual walaupun keputusan berkenaan mungkin tidak lagi mengubah nasib mereka sekiranya hukuman penyingkiran diputuskan.

Dalam masa sama, City juga tidak menjangka menerima hukuman paling memalukan dengan memulakan musim depan dari bawah piramid bola sepak England, iaitu di League Two.