JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli terpaksa melupakan hasrat memburu emas keempat berturut-turut pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas meraih pingat perak dalam acara akhir lelaki kategori F20, hari ini.
Ziyad mencatat lontaran terbaik 16.61 meter (m), namun ia belum cukup untuk menyaingi atlet Arab Saudi, Bader Ali yang mencipta kejutan menerusi lontaran sejauh 17.08m, sekali gus memecahkan rekod temasya.
Perbezaan 0.47m antara kedua-dua atlet itu menyaksikan Bader merampas gelaran juara daripada Ziyad yang sebelum ini menguasai acara berkenaan dalam tiga edisi berturut-turut sejak Incheon 2014, Jakarta-Palembang 2018 dan Hangzhou 2022.
Lebih menarik, sebelum pertandingan, catatan terbaik musim Bader dilaporkan 16.04m, manakala Ziyad merekodkan 15.69m.
Kedua-dua atlet bagaimanapun berjaya melepasi catatan berkenaan dalam saingan akhir, dengan Bader menghasilkan lontaran 1.04m lebih jauh daripada catatan terbaik musimnya.
Ziyad pula memperbaiki catatan terbaik musimnya sebanyak 0.92m, namun masih ketinggalan di belakang pencabar dari Arab Saudi itu.
Dalam saingan sama, seorang lagi wakil negara, Aliff Mohamad Awi melengkapkan kejayaan Malaysia di podium apabila meraih pingat gangsa menerusi lontaran 14.45m yang juga merupakan rekod peribadi terbaiknya.
Walaupun misi mempertahankan emas tidak kesampaian, Ziyad masih berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kelompok dua terbaik Asia, manakala kejayaan Aliff memperbaharui rekod peribadi menjadi satu lagi perkembangan positif buat kontinjen negara.