SUNGAI PETANI - Kediaman rasmi pegawai daerah yang pernah didiami Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa berkhidmat, kembali dipulihara selepas terbiar lebih 20 tahun.
Pegawai Daerah Kuala Muda, Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad berkata, tokoh negarawan yang digelar Bapa Kemerdekaan itu mendiami rumah berkenaan ketika berkhidmat sekitar 1936 hingga 1940.
"Ia adalah kediaman rasmi pegawai daerah sejak dulu lagi, tapi terbiar sekian lama sehinggalah kali ini baru dipulihkan untuk kita wujudkan suasana baharu bagi menceriakan keindahan Bandar Sungai Petani.
"Kaitan Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan kediaman ini merupakan nilai sejarah dan warisan tinggi menjadikannya sebahagian daripada sejarah awal pentadbiran daerah Kuala Muda serta perjalanan menuju kemerdekaan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi penyerahan kediaman berkenaan kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini pada Khamis.
Penyerahan disempurnakan Sharifah Norulasyikhah kepada Yang Dipertua MPSPK, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah.
Menurut Sharifah Norulasyikhah, rumah berkenaan diserahkan secara pajakan selama 10 tahun kepada MPSPK untuk dibangunkan sebagai lokasi bersejarah dan tumpuan pelancongan.
Sementara itu, Tunku Iskandar Shah berkata, rumah berkenaan kini dalam proses baik pulih untuk dijadikan galeri sebelum dibuka kepada orang awam tahun hadapan.
Menurutnya, usaha baik pulih menerusi inisiatif Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah dan MPSPK termasuklah membabitkan kerja pengukuhan struktur, mengecat serta pencahayaan.
"Tunku Abdul Rahman pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda, Pegawai Tadbir Negeri sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
"Pada bulan kemerdekaan ini, pemuliharaan dibuat bukan sekadar baik pulih, tetapi simbol kepada tempat bermulanya pentadbiran daerah selain menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu," katanya.
Beliau berkata, kawasan itu turut akan dibangunkan dengan landskap menarik mengikut konsep 'urban forest' Bandar Sungai Petani.
Jelas beliau, aspek keselamatan turut diberi perhatian memandangkan bangunan berkenaan merupakan binaan lama bagi memastikan ia selamat sebelum dibuka kepada orang ramai.
Katanya, rumah berkenaan dibina sebelum Perang Dunia Kedua berdasarkan reka bentuk banglo bertiang, siling tinggi dan mempunyai anjung yang sesuai dengan iklim tropika melalui pengudaraan serta pencahayaan semula jadi.
Menurutnya, ciri berkenaan turut memberikan nilai estetika dan klasik kepada kediaman rasmi pegawai daerah tersebut.
"Binaannya dipengaruhi seni bina kolonial British digabungkan elemen tempatan Kedah merupakan warisan berprestij yang perlu kekal dipelihara seterusnya dihargai generasi akan datang," ujarnya.