KULIM – Tindakan seorang ibu tunggal datang dari Terengganu ke Kulim untuk meluangkan masa bersama teman lelakinya yang berstatus suami orang akhirnya mengundang padah apabila mereka dicekup dalam serbuan penguat kuasa agama di sebuah hotel di Padang Serai, awal pagi Selasa.
Lebih mengejutkan, kegiatan pasangan itu terbongkar selepas pergerakan lelaki berkenaan disyaki dan diekori oleh isterinya sendiri sebelum maklumat disalurkan kepada pihak berkuasa.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 7.30 pagi selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan pasangan terbabit.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, kedua-dua individu terbabit ditemui berada dalam sebuah bilik hotel di tingkat atas premis berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati wanita berusia 42 tahun itu merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak berusia 18 tahun.
“Pasangannya pula seorang lelaki bukan Islam berusia 24 tahun berasal dari Padang Serai yang telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak,” katanya.
Menurut beliau, pasangan tersebut dipercayai mula berkenalan ketika bekerja di sebuah syarikat kurier pada Mac lalu sebelum hubungan mereka menjadi semakin rapat.
Anwar Sharifudin berkata, wanita berkenaan memberi alasan datang dari Terengganu ke Kulim kerana mempunyai urusan dengan pihak bank.
Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati dia berada di hotel berkenaan bersama lelaki terbabit ketika serbuan dilakukan.
“Serbuan turut disaksikan isteri kepada lelaki berkenaan yang mengesyaki tindakan mencurigakan suaminya sejak kebelakangan ini sebelum bertindak mengekori pergerakannya.
“Hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang membuktikan mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri,” katanya.
Beliau berkata, kedua-duanya kemudian dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kulim untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.