Feri bawa 251 penumpang terkandas di beting pasir Kuala Perlis

Iklan
Operasi pemindahan penumpang feri yang terkandas ke bot nelayan yang diawasi oleh Polis Marin pada Rabu.

KUALA PERLIS – Seramai 251 penumpang dan 10 kru feri Express Bahagia 98 disahkan selamat selepas feri berkenaan terkandas di beting pasir berhampiran laluan masuk ke Terminal Jeti Penumpang Kuala Perlis pada Rabu.

Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, kesemua penumpang bersama bagasi berjaya dipindahkan dengan selamat kira-kira jam 2.50 petang selepas feri itu terkandas lebih empat jam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, feri berkenaan berlepas dari Langkawi menuju ke Kuala Perlis pada jam 9.30 pagi sebelum dilaporkan terkandas kira-kira jam 10.35 pagi berhampiran Boya Nombor 1.

“Ketika mengelak halangan itu, kedua-dua enjin utama feri dihentikan sebelum keadaan angin menyebabkan feri berkenaan dihanyutkan ke kawasan beting pasir,” katanya pada Rabu.

Iklan

Kesemua penumpang bersama bagasi berjaya dipindahkan dengan selamat kira-kira jam 2.50 petang pada Rabu selepas feri itu terkandas lebih empat jam.

Jelas Norhafiz, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Ketua Pejabat Laut Kuala Perlis kira-kira jam 11 pagi.

Iklan

Katanya, usaha awal untuk menarik keluar feri menggunakan bantuan Feri Kenangan 6 dan Langkawi Auto Express 1 bagaimanapun tidak berjaya berikutan paras air laut yang semakin surut.

“Operasi pemindahan penumpang telah dilaksanakan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Kuala Perlis, Persatuan Nelayan Kuala Perlis dan Sea Splash Travel Sdn Bhd.

“Operasi berkenaan juga melibatkan sebuah bot Polis Marin, sebuah bot nelayan serta empat bot fiber milik Sea Splash Travel,” ujarnya.

Usaha awal untuk menarik keluar feri terkandas (kiri) menggunakan bantuan Feri Kenangan 6 dan Langkawi Auto Express 1 bagaimanapun tidak berjaya berikutan paras air laut yang semakin surut.

Dalam pada itu, usaha mengeluarkan feri yang terkandas dari kawasan beting pasir dirancang dilakukan sekitar jam 7 malam pada Rabu selepas paras air laut dijangka meningkat.

Menurut Norhafiz, operasi berkenaan akan melibatkan bantuan bot nelayan dan tertakluk kepada keadaan pasang surut serta kesesuaian situasi semasa bagi memastikan proses mengeluarkan feri dapat dilakukan dengan selamat.