KANGAR – Kedudukan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah susulan penggantungan keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan bergantung kepada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di negeri ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus'sele Eizan berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis bagaimanapun berjalan seperti biasa walaupun Abu Bakar berdepan isu berkenaan.
Menurutnya, beliau belum dapat memberikan sebarang maklum balas lanjut berhubung perkembangan itu kerana masih belum menerima pemakluman rasmi daripada mana-mana pihak.
Sebelum ini, media melaporkan Abu Bakar digantung keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa 13 Oktober lalu.
Penggantungan itu disahkan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim yang memaklumkan surat berhubung tindakan berkenaan telah dikeluarkan sejak minggu lalu dan Menteri Besar itu juga sudah mengetahui perkara terbabit
Jelas Rus'sele, pendirian enam ADUN Pas itu penting bagi menentukan sama ada mereka masih menyokong Abu Bakar atau sebaliknya.
Katanya, Abu Bakar juga masih mempunyai tempoh dua minggu untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu berhubung keputusan penggantungan keahliannya.
“Walaupun begitu, beliau ada masa dua minggu untuk merayu. Selepas tempoh itu, mungkin ada keputusan yang akan dibuat.
“Saya tidak tahu lagi, mungkin akan ada keputusan selepas itu,” ujarnya.