Polis tangkap lelaki pukul kucing

Iklan
Rakaman video berdurasi dua minit 19 saat mendapati seorang lelaki dilihat memukul seekor anak kucing beberapa kali menggunakan sebatang penyapu jenis aluminium.

BATU GAJAH - Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai menganiaya seekor anak kucing dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 12.04 tengah hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian berkenaan turut dirakam oleh jiran suspek yang menjadi saksi.

“Hasil semakan terhadap rakaman video berdurasi dua minit 19 saat mendapati seorang lelaki dilihat memukul seekor anak kucing beberapa kali menggunakan sebatang penyapu jenis aluminium.

Iklan

"Kejadian tersebut dipercayai berlaku di kawasan parkir rumah suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, susulan itu, lelaki berkenaan tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengaku memukul anak kucing tersebut menggunakan penyapu aluminium.

"Suspek mendakwa tindakan itu dilakukan kerana anak kucing berkenaan masuk ke bahagian enjin kenderaannya yang diparkir di rumah.

“Suspek bimbang keadaan itu boleh mendatangkan bahaya kepada haiwan tersebut selain berisiko menyebabkan kerosakan pada kenderaan sekiranya enjin dihidupkan,” katanya.

Md Noor Aehawan berkata, siasatan lanjut kemudiannya mendapati anak kucing itu masih hidup.

Jelasnya, haiwan tersebut telah diambil oleh jiran dan dibawa ke klinik veterinar bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Laporan veterinar akan dipohon bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.