IPOH - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi memastikan pelaburan berkaitan unsur nadir bumi (REE) memberi manfaat lebih besar kepada negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, MITI akan memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran dan pertengahan manakala NRES akan mengendalikan aspek berkaitan aktiviti huluan.
Menurutnya, kerjasama kedua-dua kementerian itu penting bagi memastikan pelabur yang berminat dalam sektor REE dapat diperkenalkan kepada pihak berkaitan, selain menjamin aktiviti pemprosesan dan pemisahan REE dapat dilaksanakan di dalam negara.
"Perak adalah antara negeri yang mempunyai potensi rizab REE. Jadi, untuk kita mendapatkan manfaat keseluruhan daripada REE, aktiviti itu mestilah merangkumi huluan, pertengahan dan hiliran.
"REE adalah mineral kritikal yang sangat diperlukan dalam pembangunan pelbagai teknologi dunia hari ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Invest In Perak Day di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sementara itu, Johari berkata, kerajaan juga tidak mahu pelaburan berkaitan REE hanya tertumpu kepada aktiviti perlombongan sebelum bahan mentah dieksport, sebaliknya pelabur perlu membawa teknologi dan berkongsi kepakaran bagi membangunkan rantaian industri berkenaan dalam negara.
Katanya, pelabur yang mahu terlibat dalam sektor itu perlu mempunyai komitmen untuk menyertai aktiviti daripada peringkat huluan hingga hiliran termasuk perkongsian teknologi yang diperlukan.
"Kita mahu pelabur yang datang bekerjasama dalam REE membawa teknologi mereka, berkongsi dengan kita dan terlibat secara langsung daripada huluan, pertengahan hingga hiliran.
"Kalau tidak, kita akan terus mencari pelabur yang sanggup memberikan komitmen dan berkongsi teknologi dengan kita," katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan perlu mengambil kira aspek perlindungan teknologi, paten dan rahsia perdagangan yang dibawa pelabur bagi meyakinkan syarikat untuk melabur dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata, pengalaman Perak yang sudah memulakan aktiviti di peringkat huluan boleh menjadi asas pembelajaran bagi membangunkan industri REE di negeri lain yang turut mempunyai potensi termasuk Johor dan Negeri Sembilan.
"Kita perlu belajar daripada pengalaman Perak dan melihat perkara yang perlu diubah dari segi peraturan, undang-undang serta ketersediaan teknologi.
"Yang penting, aktiviti pertengahan seperti proses pemisahan REE mesti dilakukan di Malaysia," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata, sebarang gangguan terhadap laluan perdagangan di Selat Hormuz berpotensi memberi kesan kepada sektor tenaga dan seterusnya industri negara.
Katanya, Malaysia bagaimanapun dijangka tidak terjejas seteruk negara yang tidak mempunyai sumber minyak dan gas.
"Selat Hormuz lebih kepada sektor tenaga. Apabila sektor tenaga terjejas, semua industri akan terjejas.
"Malaysia masih pengeksport bersih gas, tetapi bagi minyak kita adalah pengimport bersih. Jadi, kita akan terjejas seperti negara lain, cuma tidak seteruk negara yang tidak mempunyai minyak dan gas," katanya.