'Selat Hormuz wilayah baharu AS'

Iklan
Tindakan provokasi itu dilakukan di tengah-tengah situasi tidak menentu antara kedua-dua negara.

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas memuat naik peta janaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di platform Truth Social yang menggambarkan Selat Hormuz sebagai 'wilayah baharu AS'.

Tindakannya, sekali gus menimbulkan ancaman untuk menuntut kedaulatan ke atas laluan strategik yang ditutup Iran.

Iklan
Iklan

Ia bukanlah kali pertama Trump membangkitkan idea mengarut untuk mengambil alih Selat Hormuz. Pada Jumaat lalu, beliau secara berseloroh menyatakan Washington akan mengisytiharkan selat itu sebagai wilayahnya tidak lama lagi.

Teheran pantas memberi respons dengan menegaskan bahawa laluan strategik itu kekal milik mereka.

Iklan

Pada Isnin, pemimpin Republikan itu kembali mengutarakan kemungkinan AS mengambil alih Selat Hormuz dan mendakwa kononnya ia sebagai idea yang bernas.

“Saya rasa cadangan yang memberi kawalan penuh ke atas Selat Hormuz amat bagus,” katanya yang turut mendakwa sekatan maritim dikenakan ke atas Iran benar-benar berkesan.

Iklan

Sebelum ini, Trump turut pernah mengancam untuk mengambil alih wilayah asing.

Sejak kembali ke Rumah Putih pada tahun lalu, beliau mengancam untuk menjadikan Kanada sebagai negeri AS ke-51, mengambil alih Greenland dan turut memberi bayangan untuk menguasai Semenanjung Gaza, namun tiada satu pun ancaman itu direalisasikan.

Dua jam selepas memuat naik catatan tersebut, Trump mendakwa tiada rundingan dengan Iran sedang berlangsung atau dijadualkan, sekali gus bercanggah dengan kenyataan Wakil AS yang juga menantunya, Jared Kushner.

Kushner mendakwa perbincangan yang sangat positif dan aktif antara kedua-dua negara sedang berlangsung.

Sementara itu, perunding utama Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menegaskan Selat Hormuz tidak akan dibuka selagi AS tidak memenuhi tuntutan Teheran termasuk menarik balik sekatan maritim seperti termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) dimeterai pada Jun lalu. - Agensi