KOTA BHARU - Seorang buruh ladang sawit warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan mencabul seorang gadis juga sepupu perempuannya pada Mei dan Jun lalu.
Tertuduh yang berusia 25 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan maksud seksual terhadap mangsa yang berusia 17 tahun tujuh bulan di sebuah bilik tidur di rumah tanpa nombor di Kampung Lepan Anjung, Dabong, Kuala Krai antara jam 2 hingga 3 pagi, 31 Mei lalu,
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi dan waktu yang sama pada 1 Jun lalu.
Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama antara jam 2 hingga 3 pagi, 13 Jun lalu, di lokasi sama mengikut pertuduhan ketiga.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding terbabit, Syazalia tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan tidak boleh jamin selain status warga asing.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula 20 September ini untuk lantikan peguam tertuduh bagi kes berkenaan.
Tertuduh tidak dibenarkan jamin.