Baki 478,455 beg baja tambahan perlu diagih sebelum 1 Oktober - MADA

Iklan
Aktiviti pengedaran Baja Padi Tiga di PPK kawasan MADA. Foto MADA

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mempergiat pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak pembekal bagi memastikan baki 478,455 beg Baja Sebatian Tambahan atau Baja Padi Tiga dapat diagihkan kepada pesawah sebelum tempoh pembekalan berakhir pada 1 Oktober depan.

MADA dalam kenyataannya berkata, setakat 18 Ogos, sebanyak 137,560 beg daripada keseluruhan keperluan 616,015 beg telah dibekalkan, bersamaan kira-kira 22 peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, baki bekalan itu melibatkan keperluan kira-kira 38,000 pesawah dengan keluasan tanaman sekitar 78,117 hektar di Kawasan Muda.

“MADA memandang serius kelewatan ini khususnya apabila pembekalan baja berlaku pada tempoh kritikal pertumbuhan tanaman padi.

Iklan

“Kira-kira 52,000 hektar tanaman kini berada pada peringkat 31 hingga 75 Hari Lepas Tabur (HLT), iaitu tempoh yang memerlukan aplikasi Baja Sebatian Tambahan bagi menyokong pembentukan tangkai dan pengisian biji padi,” katanya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA masih belum menerima Baja Padi Tiga, sekali gus dikhuatiri menjejaskan hasil padi musim ini.

Iklan

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob sebelum ini berkata, kelewatan itu membimbangkan kerana baja berkenaan diperlukan ketika tanaman padi memasuki peringkat reproduktif antara usia 40 hingga 60 hari bagi membantu pembentukan tangkai dan pengisian buah.

Dalam pada itu, MADA berkata, pihaknya turut mengeluarkan peringatan kepada pembekal berhubung pematuhan syarat kontrak selain mengarahkan jadual pembekalan dikemukakan secara harian dan mingguan.

Langkah itu bagi membolehkan perkembangan bekalan dipantau dengan lebih rapat sehingga kesemua keperluan pesawah dipenuhi.

Dalam pada itu, aspek kualiti baja turut diberikan perhatian apabila analisis makmal mendapati terdapat ketidakseragaman kualiti fizikal baja khususnya dari aspek saiz butiran dan kandungan habuk.

“MADA turut menuntut tindakan pembetulan daripada pihak pembekal bagi memastikan baja yang dibekalkan memenuhi spesifikasi dan keperluan yang ditetapkan,” ujarnya.

Menurut MADA, pembekalan Baja Sebatian Tambahan disambung semula oleh pihak pembekal pada 18 Ogos dengan kapasiti sebanyak 15,200 beg.

Tambah MADA, pihaknya akan terus memantau penerimaan bekalan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), proses pengedaran kepada pesawah serta kedudukan stok di lapangan secara harian.

“MADA menegaskan bahawa pembekal bertanggungjawab memastikan segala obligasi dan syarat yang telah dipersetujui dalam kontrak dipatuhi sepenuhnya.

“Sebarang kegagalan untuk memenuhi komitmen pembekalan tidak akan dipandang ringan dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan kontrak serta peraturan perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa,” katanya.

MADA turut menegaskan kebajikan pesawah dan kelancaran aktiviti penanaman padi menjadi keutamaan pihaknya dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan kelangsungan bekalan input pertanian.

Menurutnya, penyelarasan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pihak berkaitan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan baki bekalan diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.