KUANTAN-Polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan tiga suspek kes samun sebuah kedai emas membabitkan kerugian lebih RM1.7 juta di Sky Avenue, Genting Highlands pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, ketiga-tiga suspek dikesan melarikan diri menggunakan sebuah kereta mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor.
Menurutnya, ia dikesan berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.
"Susulan kejadian, Op Tutup telah diaktifkan jam 12 tengah hari semalam (Isnin) di sekitar Genting Highlands dan laluan menghala ke Batang Kali, Selangor sebelum ditamatkan jam 4.15 petang hari yang sama," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Azry Akmar berkata, kejadian samun melibatkan tiga suspek bersenjatakan kapak dan kuku kambing itu berlaku kira-kira jam 11.39 pagi.
"Suspek yang memakai penutup muka, topi dan jaket dipercayai masuk ke dalam premis sebelum mengumpil cermin rak pameran barang kemas dan melarikan lima bekas berisi 81 barang kemas pelbagai jenis seberat 2.5 kilogram bernilai lebih RM1.7 juta.
"Suspek hanya mengambil masa kira-kira dua minit sebelum keluar premis itu jam 11.41 pagi," ujarnya.
Jelas beliau, semasa kejadian, tiada pelanggan, hanya dua pekerja berada dalam premis itu manakala seorang lagi pekerja keluar rehat.
"Pemeriksaan mendapati tiada pengawal keselamatan ditugaskan di premis tersebut," katanya.
Beliau berkata, pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian.
"Pihak polis memandang serius kejadian tersebut dan giat menjalankan siasatan bagi mengesan ketiga-tiga suspek terbabit.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Aqilah Azmi di talian 011-3175 9522 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.