JOHOR BAHRU - Satu jejambat yang menghubungkan RTS Link Johor Bahru - Singapura dengan KTM Komuter di JB Sentral akan dibina bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sekali gus menyelesaikan masalah penyuraian trafik di kawasan itu sebaik pengoperasian RTS Link Johor Singapura.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek Kementerian Pengangkutan yang akan bermula dalam waktu terdekat dan mengambil tempoh selama 12 bulan itu melibatkan kos pembinaan bernilai RM60 juta yang telah diluluskan Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, projek itu menjadi kemudahan tambahan kepada pengguna yang akan menggunakan perkhidmatan RTS Link untuk menghubungkan kedua-dua destinasi.
“Jadi ini apabila siap nanti, apabila mana-mana penumpang yang mengambil KTM Komuter, mereka berhenti di stesen Komuter, stesen KTMB Komuter, dia boleh terus sambung ke Stesen RTS Bukit Chagar.
“Ini akan memudahkan ramai penumpang dan kita hendak menggalakkan supaya pengguna-pengguna RTS Link ini akan menggunakan pengangkutan awam untuk sampai ke Bukit Chagar ataupun keluar daripada Bukit Chagar sama ada ada pelbagai mod melalui bas atau KTM Komuter yang diperkenalkan sebagai Komuter Selatan dan juga pengangkutan awam yang lain seperti e-hailing dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan tinjauan RTS Link Johor Bahru-Singapura pada Selasa.
Anthony berkata, perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuk jejambat sedia ada akan dimulakan serentak dengan pembukaan operasi RTS Link.
“Ini satu perkara yang kita hendak maklumkan kepada orang ramai bahawa sistem RTS Bukit Chagar di Bukit Chagar ini akan mengintegrasikan dengan pelbagai mod pengangkutan awam di Johor Bahru sekali gus menjadi salah satu penyelesaian kita untuk memastikan penyuraian trafik ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Pembinaan jejambat di bahagian tengah jambatan penghubung itu bakal memudahkan pengguna memandangkan laluan penghubung sedia ada ketika ini memaksa mereka membuat pusingan jauh.
“Dengan adanya laluan ini, pengguna dari stesen komuter boleh menggunakan platform akses pejalan kaki dan seterusnya menaiki eskalator untuk terus ke jambatan penghubung.
“Langkah ini akan memendekkan jarak perjalanan antara stesen komuter dan stesen RTS Bukit Chagar, sekali gus membantu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan komuter,” kata Anthony.
Menerusi tinjauan progres tadi, beliau berpuas hati dengan kemajuan projek berkenaan yang kini berada dalam fasa ujian sebelum beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, ujian tersebut akan mengambil masa beberapa bulan lagi bagi memastikan sistem ujian pengintegrasian dan beberapa perujian lain yang sedang dijalankan dapat mengenal pasti sistem-sistem yang boleh ditambah baik.
“Jadi ini merupakan fasa yang paling penting sebelum pengoperasian kerana fasa ujian dan pentauliahan ini merupakan satu fasa yang paling kritikal untuk memastikan semua sistem dapat berfungsi dengan baik, berfungsi dengan seperti yang diharapkan, sebelumnya ia dibuka untuk operasi untuk orang ramai,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, tarikh pengoperasian dan kadar tambang akan diumumkan Menteri Pengangkutan Malaysia dan Singapura nanti berikutan infrastruktur ini merupakan projek bilateral kedua-dua negara.