[VIDEO] 'Tak mampu tolong dengan duit, dengan keringat pun boleh'

Iklan

ALOR SETAR - “Tak mampu tolong orang dengan duit, dengan keringat pun boleh.”

Demikian antara kata-kata Allahyarham Mohd Khairil Jamaludin, 44, yang masih segar dalam ingatan isterinya, Norasmani Ahmad, 44.

Iklan
Iklan

Norasmani dan anaknya menunjukkan gambar kenangan bersama arwah Mohd Khairil.

Keluarga Allahyarham Mohd Khairil bersetuju mendermakan kedua-dua buah pinggangnya selepas beliau disahkan mengalami kematian otak ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Iklan

Menurut Norasmani, arwah suaminya sering menyatakan hasrat untuk membantu orang lain walaupun tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan.

Mohd Khairil diberikan penghormatan menerusi upacara ‘walk of honour’ sebelum proses pemindahan organ dilaksanakan di HSB Alor Setar pada 13 Ogos lalu.

Iklan

Beliau berkata, pendermaan kedua-dua buah pinggang arwah suaminya yang kebetulan dilakukan sempena Hari Pendermaan Organ Sedunia pada 13 Ogos lalu di HSB memberi peluang kepada insan lain untuk meneruskan kehidupan.

“Saya pegang kata-kata arwah suami yang sering mahu membantu orang lain dengan keringat dan tubuh badannya. Melalui pendermaan organ ini, arwah dapat membantu orang lain untuk terus hidup walaupun dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Taman Kelana di sini.

Menurut Norasmani, pemergian arwah suaminya yang bekerja sebagai pemandu e-hailing berlaku begitu pantas kerana sebelum ini dia sihat dan tidak mempunyai penyakit kronik, namun tiba-tiba mengadu pening pada petang 9 Ogos lalu.

Katanya, arwah suaminya kemudian dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan sebelum muntah dan diserang sawan ketika berada di hospital berkenaan.

Kenangan arwah Mohd Khairil bersama isteri dan anak tunggal mereka.

“Arwah diintubasi dan kemudiannya tidak lagi sedarkan diri. Pemeriksaan lanjut mendapati berlaku kerosakan serius pada otak sebelum dua ujian mengesahkan dia mengalami kematian otak,” ujarnya.

Norasmani berkata, pada awalnya dia tidak pernah terfikir untuk mendermakan organ suaminya, malah lebih berharap masih ada jalan untuk menyelamatkan nyawa suaminya itu.

Bagaimanapun, kata-kata seorang jururawat yang dikenali sebagai Kak Ros ketika menguruskan suaminya di hospital telah mengubah pendiriannya.

“Saya rasa dijentik hati selepas bertemu Kak Ros yang berkata, bukan semua orang terpilih untuk melalui keadaan seperti ini dan mungkin dengan kematian otak itu, suami boleh membantu orang lain untuk hidup.

Norasmani berkata, dia kemudian berbincang dengan keluarga serta mendapatkan penjelasan daripada ustaz mengenai hukum pendermaan organ sebelum mereka bersetuju membenarkan organ arwah suaminya didermakan.

Katanya, penjelasan itu penting kerana keluarga sebelum ini mempunyai pelbagai kebimbangan dan tanggapan mengenai pendermaan organ, termasuk keadaan jasad selepas organ dikeluarkan.

“Apabila ustaz menerangkan mengenai hukum dan fatwa berkaitan pendermaan organ, saya berasa lebih jelas dan lega. Saya juga bertanya kepada anak dan dia bersetuju.

“Doktor juga menjelaskan bahawa mereka tidak memaksa dan keputusan perlu dibuat dengan persetujuan keluarga,” katanya.

Proses pendermaan dua buah pinggang milik arwah Mohd Khairil secara kebetulan pada sambutan Hari Pendermaan Organ Sedunia pada 13 Ogos lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) telah memberikan peluang kepada insan lain meneruskan kehidupan.

Prosedur pengambilan organ dilakukan pada jam 3 pagi, 13 Ogos lalu di HSB, dengan doktor memaklumkan kedua-dua buah pinggang Mohd Khairil berada dalam keadaan baik dan sesuai untuk didermakan.

Lebih menyentuh hati, arwah Mohd Khairil diberikan penghormatan menerusi upacara Walk of Honour sebelum proses pemindahan organ dilaksanakan.

Norasmani berkata, pihak hospital memaklumkan salah seorang penerima buah pinggang berada di Kuala Lumpur, namun identiti kedua-dua penerima tidak didedahkan kepada keluarganya.

“Saya sentiasa berdoa agar organ itu diterima dengan baik dan penerima dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Tambah Norasmani, pengalaman itu turut mengubah pandangannya terhadap pendermaan organ apabila dia bersama beberapa ahli keluarga lain kini berhasrat untuk menjadi pengikrar penderma organ.

Sementara itu, anak tunggal pasangan berkenaan, Muhammad Harith Mirza, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, turut menyatakan hasrat untuk mengikuti jejak bapanya menjadi penderma organ.