SUNGAI PETANI - Kegiatan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi berjaya dibongkar dalam serbuan di sebuah gudang pakaian terpakai di kawasan perindustrian ringan, di sini pada Isnin.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, kegiatan itu dipercayai berselindung di sebalik urus niaga membabitkan pakaian terbabit.
Menurutnya, lokasi gudang dipercayai sengaja dipilih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelakkan kegiatan haram tersebut dihidu pihak berkuasa.
"Semakan lanjut menemui sejumlah minyak masak peket bersubsidi disimpan dalam premis berkenaan tanpa lesen atau kebenaran dari pengawal bekalan.
"KPDN Kedah telah menyita sebanyak 3,383 unit minyak masak bersubsidi untuk siasatan lanjut membabitkan nilai sitaan keseluruhan berjumlah lebih RM 8,457," katanya.
Beliau berkata, tindakan itu berjaya mematahkan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi yang didakwa aktif sejak sebulan lalu.
Jelasnya, dua beradik lelaki berusia 18 dan dan 26 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala
kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.