Kontraktor ubah suai rumah didakwa guna kontrak perjanjian, pendaftaran CIDB perdaya mangsa

Iklan
Musa (duduk, dua dari kanan) bersama Nadzim (kiri), Vikram (kanan) dan mangsa di Pejabat MCCC di ibu kota pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Mangsa penipuan kontraktor ubah suai rumah mendakwa terpedaya selepas individu terbabit menggunakan kontrak perjanjian, pendaftaran syarikat serta pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, kerja renovasi didakwa tidak dijalankan seperti dipersetujui sehingga komunikasi dengan kontraktor terputus, selain projek gagal disiapkan.

Iklan
Iklan

Salah seorang mangsa berkata, kerugian dialami selepas terpedaya dengan kontraktor terbabit lebih RM100,000

"Ada kontrak, ada kerja dan lambat menyiapkan kerja atau tidak menyiapkan kerja tidak semestinya bermaksud tiada niat untuk menipu atau memperdaya," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) di sini pada Isnin.

Iklan

Turut hadir, Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan peguam, S Vikram. 

Beliau yang juga pengurus sebuah syarikat turut mendakwa ada mangsa terpaksa mengambil alih urusan mendapatkan pembekal serta membuat rundingan harga bahan binaan selepas kerja renovasi tidak berjalan seperti diharapkan.

Iklan

"Kita turut mengeluarkan kos tambahan untuk melantik kontraktor lain bagi menyiapkan projek tersebut," katanya.

Sementara itu, Musa berkata, pihaknya menggesa polis menyiasat dakwaan penipuan membabitkan kontraktor renovasi rumah itu sebagai kes jenayah komersial dan bukan sekadar pertikaian sivil.

"Kita telah menerima aduan daripada 18 mangsa mendakwa mengalami kerugian hampir RM1 juta dalam kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata, sebahagian mangsa telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkembangan laporan-laporan tersebut selain mengemukakan dokumen berkaitan kes penipuan berkenaan," katanya.

Berdasarkan maklumat diterima beliau berkata, individu terbabit mempunyai sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan renovasi dan pembinaan rumah.

"Mangsa mendakwa telah membuat bayaran selepas bersetuju dengan kontrak atau perjanjian untuk menjalankan kerja-kerja renovasi, namun kerja yang dijanjikan tidak dilaksanakan seperti dipersetujui.

"Saya juga menasihatkan mangsa lain supaya tampil membuat laporan. Tindakan itu penting bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.