Pemandu maut, kereta langgar treler parkir di bahu jalan

Iklan
Pemandu kereta maut selepas kenderaan dinaiki melanggar treler yang diparkir di bahu jalan di Kilometer 55, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, awal pagi Jumaat.

TAPAH – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya melanggar sebuah treler yang diparkir di bahu jalan di Kilometer 55, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang memandu kereta dari arah Temoh menghala ke Tapah dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian tayar penggerak utama sebelah kanan treler berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam sebelum siasatan awal mendapati treler berkenaan sedang diparkir di bahu kiri jalan tidak berturap menghala ke Tapah.

Menurutnya, pemandu treler berusia 39 tahun tidak berada di lokasi kejadian ketika kemalangan berlaku kerana kenderaan berat itu diparkir berhampiran tempat kerjanya.

Iklan

"Mangsa dibawa ke Hospital Tapah menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan oleh pegawai perubatan bertugas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Malik berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222.

Iklan

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tapah, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain menerusi talian 017-325 6140.