KUALA LUMPUR - Polis menerima 16 laporan berkaitan ancaman keselamatan siber sepanjang 10 hingga 31 Oktober lalu, membabitkan anggaran kerugian keseluruhan RM79.16 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, daripada jumlah itu, dua kes melibatkan kehilangan wang daripada akaun bank dengan kerugian masing-masing RM14.52 juta dan RM21.8 juta.
“Daripada keseluruhan 16 laporan itu, 11 kes membabitkan kompromi perkakasan dan kehilangan aset kripto, dengan jumlah kerugian RM42.82 juta. Kesemua laporan berkenaan masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.
Rusdi berkata, pihaknya turut menerima laporan kes penggodaman paparan skrin LED di Kluang dan Bandar Sunway yang memaparkan kandungan tidak wajar dan lucah.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, JSJK turut merekodkan sebanyak 1,297 kes berkaitan jenayah komputer bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding 1,174 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
"Jumlah kerugian bagi tempoh sama tahun ini ialah RM125.62 juta berbanding RM239.2 juta pada tahun lalu.
"JSJK bertanggungjawab menjalankan siasatan dan memperkukuh keupayaan analisis forensik digital, khususnya bagi kes yang membabitkan aset kripto," katanya.
Menurutnya, JSJK perlu mengenal pasti kelemahan keselamatan sistem dan merangka langkah penyelesaian serta pencegahan secara bersepadu dengan kerjasama agensi berkaitan.
"Kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) akan diberi tumpuan bagi kes membabitkan sistem kewangan, manakala National Cyber Security Agency (Nacsa) berperanan sebagai peneraju dalam aspek keselamatan siber," katanya.
Dalam pada itu, Rusdi menasihatkan mana-mana pihak yang mengalami serangan atau percubaan serangan siber supaya membuat laporan polis, walaupun belum mengalami sebarang kerugian.
"Jangan berdiam diri walaupun masih belum ada kerugian. Kita perlu menerima laporan supaya dapat memantau perkembangan dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Orang ramai dan organisasi juga perlu memperkukuh perlindungan sistem melalui kawalan keselamatan, kemas kini sistem serta pengurusan akses, selain melaksanakan pemantauan ancaman bagi mengesan sebarang pencerobohan lebih awal," katanya