Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS susulan data KDNK lebih kukuh

Iklan
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, menjejaki pertumbuhan KDNK suku kedua 2026 Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan sebanyak 6.0 peratus. Gambar hiasan

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjejaki pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2026 Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan sebanyak 6.0 peratus, kata seorang ahli ekonomi.

Pada jam 8 pagi, unit tempatan naik kepada 4.0830/0890 berbanding dolar AS daripada 4.0840/0885 ketika ditutup pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan terus mencatatkan perkembangan positif, susulan data KDNK suku kedua 2026 terkini.

"Justeru, kami berpendapat ringgit akan berada pada paras sekitar RM4.07 hingga RM4.09 hari ini, katanya kepada Bernama.

Iklan

Mengenai perkembangan luaran, Mohd Afzanizam berkata, risiko geopolitik terus memberi tekanan ke atas harga minyak mentah, sekali gus mengekalkan pergerakan ringgit dalam julat sempit berbanding dolar AS.

Beliau berkata, para peniaga dan pelabur tidak pasti mengenai keadaan ini serta bagaimana ia memberi kesan kepada inflasi, semuanya bergantung kepada keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan seterusnya pada 15 dan 16 September, 2026.

Iklan

Sementara itu, mata wang tempatan dibuka bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.5645/5685 daripada 2.5660/5690 ketika ditutup pada Jumaat dan meningkat berbanding euro kepada 4.7257/7326 daripada 4.7182/7234.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.5312/5394 daripada 5.5232/5293 sebelumnya.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1923/1975 daripada 3.1924/1964 sebelumnya tetapi merosot berbanding baht Thailand kepada 12.3190/3442 daripada 12.3153/3333.

Unit tempatan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.64/6.66 dan rupiah Indonesia pada 229.0/229.4 berbanding penutupan pada Jumaat. - Bernama