KEDAH Rubber City (KRC) di Padang Terap mencatat sejarah apabila dipilih sebagai lokasi pembinaan projek solar pertama di Malaysia di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM500 juta.
Projek yang dibangunkan oleh HLGY Energy Sdn Bhd itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem tenaga boleh baharu (TBB) di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), sekali gus menyokong keperluan tenaga bersih bagi sektor perindustrian.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan loji solar berkapasiti 120.06 megawatt arus ulang-alik (MWac) yang turut dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 240.12 megawatt jam (MWh).
Pelaksanaan projek itu diterajui oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menerusi inisiatif Renewable Energy Zone@NCER (SREEZ@NCER) bagi memperluas akses kepada tenaga bersih untuk memenuhi keperluan pelabur dan industri.
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, permulaan pembinaan projek tersebut membuktikan agenda peralihan tenaga negara kini mula diterjemahkan kepada pelaburan serta pembangunan infrastruktur sebenar.
Menurut beliau, pencapaian itu turut memperkukuh pelaksanaan SREEZ@NCER dalam mewujudkan ekosistem tenaga boleh baharu yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan di Wilayah Utara.
"Projek ini membuktikan bahawa SREEZ@NCER bukan sekadar perancangan, sebaliknya telah diterjemahkan kepada pelaburan dan pembangunan infrastruktur tenaga boleh baharu.
"Permulaan pembinaan projek ini menunjukkan agenda peralihan tenaga negara mampu direalisasikan melalui kerjasama strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan mampan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, inisiatif SREEZ@NCER memainkan peranan penting dalam menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memastikan industri dan pelabur mempunyai akses kepada sumber tenaga bersih.
Katanya, usaha tersebut dijangka meningkatkan daya saing NCER sebagai destinasi pelaburan masa hadapan, khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang menitikberatkan aspek kelestarian serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Tambah beliau, inisiatif itu selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Pembangunan Strategik NCER (SDP) 2026-2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi rendah karbon.
Seiring perkembangan berkenaan, SREEZ@NCER dijangka diperluaskan ke beberapa kawasan pembangunan strategik lain termasuk Chuping Valley Industrial Area (CVIA) di Perlis dan Kedah Science and Technology Park (KSTP).
Pengembangan tersebut dijangka mewujudkan rangkaian pembangunan tenaga boleh baharu yang lebih menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan industri hijau di seluruh Wilayah Utara.
Usaha itu sekali gus memperkukuh potensi NCER untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan maju, semikonduktor, teknologi tinggi dan industri berorientasikan eksport yang semakin memerlukan akses kepada bekalan tenaga bersih serta mampan.