XIAOMI memperkenalkan telefon pintar terbaharunya, Xiaomi 18 Pro Max dan Xiaomi 18 Pro menerusi pelancaran siri Xiaomi 18 Pro di Malaysia dengan menawarkan teknologi kamera canggih, kecerdasan buatan (AI) serta ciri inovatif Back Display.
Menariknya, Xiaomi 18 Pro Max hadir dengan sistem kamera Leica Dual-200MP, selain paparan belakang yang membolehkan pengguna mengambil swafoto, merakam video serta melihat notifikasi tanpa perlu menggunakan skrin utama.
Telefon pintar premium itu turut dilengkapi platform mudah alih Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6, manakala Xiaomi 18 Pro menggunakan Snapdragon 8 Elite Gen 6 bagi memberikan prestasi lebih pantas dan cekap.
Dari segi fotografi, kedua-dua model menampilkan sistem kamera Leica Dual-200MP yang menggabungkan kamera utama 200 megapiksel dan kamera telefoto periskop 200 megapiksel bagi menghasilkan gambar lebih terperinci, termasuk ketika menggunakan zum.
Bagi Xiaomi 18 Pro Max, kamera utamanya menggunakan sensor Light Fusion 960L dengan julat dinamik tinggi 16.2EV, manakala kamera telefoto periskop menyokong zum optikal sehingga 150mm serta keupayaan telemakro pada jarak 12 sentimeter.
Keupayaan fotografi itu turut dipertingkatkan menerusi ciri AI seperti AI Portrait Fill Light yang membantu mencerahkan wajah dalam keadaan pencahayaan belakang, selain AI Composition yang mencadangkan pemotongan gambar untuk menghasilkan komposisi lebih menarik.
Dari segi rakaman video, siri berkenaan menyokong rakaman sehingga resolusi 8K pada 30 bingkai sesaat (fps) serta 4K pada 120fps dengan Dolby Vision.
Sementara itu, ciri Back Display menjadi antara tarikan utama apabila membolehkan pengguna menggunakan kamera belakang sebagai pemidang tilik untuk mengambil gambar berkumpulan, swafoto dan menghasilkan kandungan vlog.
Paparan belakang itu turut menyokong fungsi AI Interpreter yang menterjemahkan perbualan secara langsung dalam 29 bahasa, selain membolehkan pengguna menyimpan maklumat penting seperti pas masuk penerbangan dan kod QR untuk rujukan pantas.
Dari aspek prestasi, Xiaomi 18 Pro Max dilengkapi bateri berkapasiti 7,050mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 100W dan tanpa wayar 50W.
Model Xiaomi 18 Pro pula hadir dengan bateri 6,000mAh serta sokongan pengecasan pantas berwayar 90W dan tanpa wayar 50W.
Kedua-dua model turut menggunakan Xiaomi HyperOS 4 yang menawarkan pelbagai fungsi pintar, termasuk pembantu AI Google Gemini, Circle to Search serta Xiaomi HyperAI bagi memudahkan urusan harian pengguna.
Dari segi harga, Xiaomi 18 Pro Max ditawarkan pada harga bermula RM5,999 bagi varian 12GB RAM dan storan 256GB, manakala varian 12GB RAM dan storan 512GB dijual pada harga RM6,499.
Xiaomi 18 Pro pula ditawarkan pada harga RM4,499 bagi varian 12GB RAM dan storan 256GB serta RM4,999 bagi varian 12GB RAM dan storan 512GB.
Sempena pelancaran itu, Xiaomi menawarkan tempahan awal bermula 18 hingga 26 November ini dengan pelbagai promosi menarik, termasuk hadiah percuma Xiaomi Watch S5 46mm bernilai RM799 bagi pembelian model terpilih, tertakluk kepada stok.
Pembeli turut menikmati potongan harga sehingga RM500 serta pelbagai manfaat jaminan, termasuk penggantian percuma skrin utama sekali dalam tempoh 24 bulan, bateri dalam tempoh 36 bulan serta penutup belakang, skrin belakang atau kamera dalam tempoh 24 bulan.
Selain itu, kerjasama dengan CelcomDigi membolehkan pelanggan menikmati tawaran prapesanan bernilai sehingga RM4,045, termasuk hadiah percuma Xiaomi Watch S5 46mm dan Xiaomi Smart Air Purifier 4 Compact serta bonus tukar beli RM300.
Pelanggan yang membuat pembelian menerusi pelan Easy360 turut berpeluang menikmati sehingga tiga bulan perkhidmatan pascabayar percuma serta diskaun 50 peratus bagi perlindungan PhoneCARE.
Siri Xiaomi 18 Pro boleh didapati menerusi kedai Xiaomi di seluruh negara, laman web rasmi mi.com serta platform jualan rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.