BATU PAHAT - Umat Islam dinasihatkan sentiasa menjaga adab dan akhlak selain menjauhi perbuatan tidak bermoral lebih-lebih lagi di rumah ibadat seperti masjid serta surau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, masjid dan surau merupakan tempat suci yang perlu dihormati serta dipelihara kesuciannya.
Iklan
Iklan
"Jadi kepada semua, jagalah adab, jagalah akhlak dan patuhilah undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Sukan Peguam Syarie (SUKPES) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes seorang bekas siak dan wanita berstatus isteri orang yang dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada Khamis lepas kerana didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Melaka.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram dengan pasangan yang bukan sah di sisi hukum syarak antara 8 pagi hingga 12 tengah hari, antara 1 hingga 30 April lepas.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, usaha memberi pencerahan, meningkatkan kesedaran dan membimbing masyarakat mengenai pematuhan syariah serta pembentukan akhlak dilaksanakan secara berterusan, merangkumi golongan muda hingga warga emas.
Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi pelbagai program di masjid dan surau selain kempen di media sosial, termasuk bagi memperkukuh institusi kekeluargaan.- Bernama