PUTRAJAYA - Kekalahan dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini termasuk kegagalan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada PRN Negeri Sembilan tidak sepatutnya menjadi halangan untuk parti bergerak ke hadapan, tegas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Mengakui hampa dengan kekalahan bermula dari PRN Sabah hingga PRN Negeri Sembilan, Anthony bagaimanapun berkata, perwakilan dan aktivis parti perlu menjadikannya sebagai pedoman dan inspirasi.
Beliau tidak menafikan sejak 70-an hingga sekarang, DAP masih memikirkan strategi untuk memecah tembok politik perkauman yang disifatkannya sebagai cabaran besar.
"Saya merasa dukacita kerana dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini selaku Setiausaha Agung DAP, saya tak dapat pertahankan kerusi DUN Chennah. Saya mohon maaf kepada semua perwakilan.
"Harapan yang paling besar dalam PRN Negeri Sembilan bukan untuk kemenangan peribadi. Saya bertanding di kawasan itu walaupun ia kerusi yang sukar dengan harapan mahu membuktikan DAP boleh mendapat sokongan pengundi pelbagai kaum dan kita boleh menang juga di kawasan majoriti pengundi Melayu.
"Namun begitu, saya akui misi ini tak berjaya dan gagal dapat sokongan pengundi Melayu serta Orang Asli yang tinggi. Ini satu cabaran besar buat DAP," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Persidangan DAP Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.
Ahli Parlimen Seremban itu menambah, sudah menjadi lumrah pilihan raya, 'ada menang ada kalah'.
Namun, katanya, DAP dengan pengalaman pilihan raya selama 60 tahun mesti bangkit berdepan apa jua rintangan mendatang.
Sinar Harian melaporkan, Anthony gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah disandangnya selama 13 tahun dalam PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan tewas kepada satu-satunya saingan beliau daripada Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon.
Kong Choon memperoleh 5,505 undi, menewaskan Anthony yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dengan 5,036 undi, sekali gus menang majoriti 469 undi.