SUBANG - Semua penerbangan dari dan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ditangguhkan sehingga diberitahu kelak susulan kebakaran sebuah helikopter di lapangan terbang berkenaan pada Sabtu.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, kejadian membabitkan helikopter jenis Kamov Ka-32S dengan nombor pendaftaran UR-CIT kira-kira jam 12.28 tengah hari.
Menurutnya, helikopter berkenaan sedang menjalani ujian enjin di darat sebagai sebahagian daripada aktiviti penyelenggaraan ketika kejadian.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah helikopter terbakar ketika hendak berlepas bagi tujuan pengujian enjin selepas menjalani kerja pembaikan di Lapangan Terbang Subang di sini.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa dilaporkan cedera dan berada di luar pesawat selepas terkena serpihan, manakala empat lelaki warga Ukraine yang terdiri daripada juruterbang, kru dan pembantu juruterbang (co-pilot) berjaya menyelamatkan diri.
Menurut CAAM, kejadian berkenaan akan disiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia selaras dengan Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.