SHAH ALAM - Pembeli Rumah Idaman di Selangor bakal menikmati nilai tambah apabila kediaman itu diserahkan bersama kemasan dalaman seperti kabinet dapur, kabinet televisyen dan almari sekali gus mengurangkan kos pengubahsuaian selepas menerima kunci.
Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara PNSB Construction Sdn Bhd (PCSB) dan Cabinet Hub Sdn Bhd.
Menurutnya, kerjasama itu bertujuan menyediakan penyelesaian kabinet dan hiasan dalaman berkualiti tinggi kepada pemaju projek rumah mampu milik.
"Inisiatif ini bertujuan memastikan pembeli berpeluang memiliki kediaman yang lebih lengkap dengan kabinet dapur, kabinet televisyen serta almari yang moden, berkualiti dan praktikal tanpa perlu mengeluarkan kos pengubahsuaian tinggi pada peringkat awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsortium dan permulaan kerjasama strategik antara PCSB dan Cabinet Hub.
Raja Ahmad Shahrir berkata, kerjasama itu menggabungkan kekuatan PCSB sebagai penyelaras projek pembangunan negeri dengan kepakaran Cabinet Hub dalam industri pembuatan kabinet.
Beliau menjelaskan, Cabinet Hub mempunyai pengalaman dan rekod prestasi dalam industri berkenaan selain menawarkan perkhidmatan secara menyeluruh bermula daripada reka bentuk, pembuatan, penghantaran serta pemasangan sehingga perkhidmatan selepas jualan.
"Kami sudah membuat due diligence dan beberapa siri semakan serta imbangan sebelum mendapati Cabinet Hub adalah sebuah syarikat yang mampu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
"Saya harap peluang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dilaksanakan dengan tahap lebih tinggi berbanding pesaing lain di luar sana," tambah beliau.
Dalam pada itu, Raja Ahmad Shahrir berkata, PNSB turut membuka ruang kepada usahawan muda untuk menyertai rantaian pembekalan dan menjadi vendor bagi projek pembangunan rumah mampu milik di Selangor.
Katanya, peluang iu semakin besar berikutan jumlah projek rumah mampu milik yang sedang dan bakal dibangunkan.
"Setakat ini, 7,000 rumah mampu milik sudah disiapkan, 10,000 unit dalam pembinaan dan lebih daripada 25,000 unit sedang dalam proses kelulusan di seluruh Selangor.
"Jadi peluang untuk usahawan muda sebagai pembekal dan vendor juga ada dan kami sentiasa terbuka untuk memberi peluang kepada mereka," tambah beliau.
Beliau berkata, kerjasama itu diharap menjadi penanda aras baharu dalam memastikan projek rumah mampu milik bukan sahaja menawarkan harga berpatutan, malah mempunyai nilai estetika dan kemasan dalaman berkualiti tinggi.
"PNSB yakin kerjasama ini mampu menjadi model kerjasama berjaya serta menyumbang kepada pembangunan sektor hartanah Selangor secara berterusan," tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cabinet Hub Sdn Bhd, Faiz Syazwan Mohamed berkata, kerjasama itu merupakan satu langkah penting dalam memperluaskan peranan syarikat Bumiputera dalam projek perumahan berskala besar.
"Kami mahu keupayaan tersebut diterjemahkan kepada nilai sebenar kepada pembeli Rumah Idaman melalui produk berkualiti, kemasan yang lebih lengkap dan pengalaman pemilikan rumah yang baik," jelas beliau.