SHAH ALAM – Sanggup berbelanja besar hingga puluhan ringgit demi kucing mungkin dianggap satu pembaziran kepada sesetengah pihak, namun bagi pasangan suami isteri, Rosshuhaini Zamri dan Adam Chen Abdullah, perkara dilakukan itu merupakan tanda sayang terhadap haiwan peliharaannya.
Menurut Rosshuhaini atau lebih mesra disapa Nanny, 49, dia dan suami, Adam,54, memperuntukan belanja kira-kira RM2,000 sebulan atau lebih RM24,000 setahun membeli keperluan untuk 15 ekor kucing yang dianggap seperti anak sendiri.
Katanya, perbelanjaan besar tersebut meliputi makanan, pasir, ubat, makanan basah dan keperluan lain bagi haiwan peliharaannya itu.
“Akak tak kisah kalau tak beli baju atau barang baharu untuk diri sendiri, yang penting semua keperluan mereka cukup kerana mereka dah macam anak-anak akak dan suami,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menceritakan lebih lanjut mengenai kucingnya itu, menurut Nanny, ia bermula apabila seorang sahabatnya menghadiahkan dua ekor kucing iaitu Purin dan Jlo sempena hari lahirnya.
Ujarnya, bilangan kucing itu kemudian bertambah apabila Jlo melahirkan 12 anak menerusi dua kelahiran, yang dinamakan mengikut watak dalam filem Bujang Lapok dan siri animasi Doraemon.
Katanya lagi, jumlah tersebut bertambah kepada 15 ekor selepas dia dan suami menyelamatkan tiga kucing jalanan yang diberi nama Dayang dan Adik Manja yang turut kehilangan sebelah mata akibat kecederaan, manakala Kassim Selamat pula mempunyai masalah kepala senget.
"Kos dan cabaran menjaga kesemua kucing itu semakin meningkat apabila Ramlee dan Sunio mengalami masalah hati serta perlu mengambil ubat Samilyn setiap hari dengan kos ubat sekitar RM20.
“Memang banyak duit dan masa yang akak korbankan, ada juga kucing yang perlukan perhatian lebih sebab sakit tapi akak tetap pilih untuk jaga mereka kerana dah sayang,” katanya.
Menurut Nanny, meskipun terpaksa menguruskan 15 ekor 'anak' setiap hari, namun ia tidak menjadi beban kepadanya dan suami, sebaliknya menjadikan kehidupan mereka makin ceria kerana setiap haiwan peliharaan itu mempunyai gelagat tersendiri termasuk Purin yang pandai memberikan high five, manakala Ajis pula mudah cemburu apabila perhatian lebih diberikan kepada kucing lain.
Katanya, antara kucing paling mencuri perhatian ialah Nobita kerana mempunyai wajah seolah-olah tersenyum sejak berusia dua bulan, malah gelagatnya tersenyum sendiri tanpa dicuit mengejutkannya dan suami sehingga videonya tular di media sosial.
“Pagi itu kira-kira jam 7, Nobita masuk bilik ketika akak dan suami nak pergi kerja, tiba-tiba dia senyum sendiri tanpa akak cuit pun mulut dia, akak terus kelam-kabut cari telefon untuk rakam tetapi sempat rakam sedikit sahaja,” katanya.
Selain menjadi peneman di rumah, kucing-kucing itu turut membantu Nanny mempromosikan barangan keperluan haiwan peliharaan menerusi TikTok.