SHAH ALAM - Pengasas dua jenama restoran terkenal di Malaysia, BananaBro dan Boat Noodle, Tony Lim, dilaporkan meninggal dunia, sekali gus meninggalkan legasi tersendiri dalam industri makanan dan minuman (F&B) tempatan.
Pemergian usahawan itu dimaklumkan menerusi hantaran ucapan takziah yang dikongsikan kedua-dua jenama berkenaan di media sosial pada Isnin.
Menerusi kenyataan BananaBro, Tony disifatkan sebagai individu yang mempunyai visi besar untuk memperkenalkan budaya hidangan daun pisang Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Menurut kenyataan tersebut, beliau bukan sahaja menyumbang idea dan membangunkan perniagaan berkenaan, malah turut mencurahkan sepenuh komitmen kepada pekerja serta individu yang bersama-sama menjayakan impiannya.
"Walaupun beliau tidak lagi bersama kami, impiannya akan terus hidup dalam setiap hidangan beralaskan daun pisang yang kami sajikan dan setiap sumbangan beliau.
"Terima kasih, Tony. Semangat dan minat mendalam anda menjadi inspirasi buat kami, kemurahan hati anda menyentuh hati kami, dan legasi yang ditinggalkan akan terus kekal sepanjang zaman," menurut kenyataan tersebut.
Tony mula membina pengaruh dalam industri F&B menerusi penubuhan Boat Noodle pada 2014, sebuah rangkaian restoran berkonsepkan makanan jalanan Thailand yang memperkenalkan hidangan mi dalam mangkuk kecil kepada pelanggan di Malaysia.
Jenama tersebut mendapat perhatian menerusi konsep penyajian mi dalam mangkuk kecil yang membolehkan pelanggan menikmati pelbagai pilihan perisa dalam satu hidangan.
Malah, trend menyusun mangkuk kosong secara bertingkat selepas menjamu selera turut menjadi identiti tersendiri restoran berkenaan.
Selepas kejayaan Boat Noodle, Tony mengasaskan BananaBro pada 2018 dengan membawa pendekatan berbeza dalam industri restoran nasi daun pisang menerusi konsep hidangan yang lebih moden, pantas dan pada harga berpatutan.
BananaBro menawarkan menu nasi daun pisang dengan pilihan lauk-pauk dalam persekitaran restoran yang selesa, sesuai untuk pelanggan daripada pelbagai latar belakang.
Dalam tempoh lima tahun pertama operasinya, BananaBro berkembang kepada lebih 30 cawangan di seluruh negara dan merekodkan pendapatan kira-kira RM70 juta pada 2023.
Kejayaan dua jenama berkenaan memperlihatkan keupayaan Tony mengenal pasti potensi pasaran makanan tempatan dan antarabangsa, selain membangunkan konsep restoran yang mampu menarik pelanggan daripada pelbagai kelompok pengguna.