SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa agar tindakan tegas termasuk pendakwaan perlu diambil terhadap pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam segar yang melakukan kesalahan undang-undang.
Amirudin berkata, oleh itu pemantauan terhadap operasi premis perlu dilakukan secara konsisten menerusi kerjasama pengeluar sijil halal dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Pengeluar sijil dan PBT perlu bekerja bersama. Pemeriksaan berkala harus dibuat supaya kita boleh memastikan operasi sensitif seperti pusat penyembelihan dapat beroperasi mengikut prosedur dan piawaian yang sepatutnya
Beliau berkata demikian selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL & Mega NUTRISEL ) di sini, hari ini.
Sebelum ini, gudang penyembelihan dan pemprosesan ayam mentah tidak mematuhi syarak di Puchong yang diserbu menerusi Ops Taring Chiller pada Jumaat lalu, berupaya memproses lebih 40,000 ekor ayam sehari.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan / Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, ayam itu kemudian dipercayai diedarkan ke kedai runcit, restoran dan premis perniagaan sekitar Puchong serta kawasan Putrajaya, Cyberjaya, Damansara, Cheras dan Bangi.
Tinjauan Sinar Harian di premis itu pada Ahad mendapati keadaan jijik, busuk dan meloyakan, lantai masih lagi kotor dengan kesan darah, bulu ayam serta tong-tong bekas simpanan ayam dipenuhi ulat dan lalat.
Tambah Amirudin, kerajaan negeri turut mengalu-alukan aduan serta maklumat orang ramai bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap premis ini.
"Kerjasama semua pihak berautoriti penting bagi memastikan operasi pusat penyembelihan dipantau dengan sebaik mungkin.