PUTRAJAYA – Proses pendaftaran peserta bagi program RXZ Members perlu diperincikan bagi memastikan pihak penganjur dapat memainkan peranan lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kebajikan peserta.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, cadangan itu antara perkara yang dikemukakan pihaknya kepada penganjur dalam sesi libat urus yang diadakan pada Rabu.
Menurutnya, JPJ turut mengemukakan beberapa pandangan dan cadangan bagi menambah baik penganjuran program berkenaan pada masa hadapan.
“Antaranya seperti proses pendaftaran itu perlu dibuat dengan lebih teliti, yang mana peserta-peserta diminta untuk membuat pendaftaran, memberikan maklumat-maklumat yang diperlukan seperti lesen memandu, LKM (lesen kenderaan motor) dan sebagainya.
“Jadi ini adalah penting untuk kita dan pihak penganjur juga boleh bertanggungjawab dengan peserta-peserta yang akan hadir ke program-program akan datang,” katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus bersama media di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan penganjur RXZ Members perlu melaksanakan pengurusan risiko secara lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara bagi memastikan aspek keselamatan serta kelancaran trafik diberi perhatian sewajarnya.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, pihak penganjur tidak mempunyai halangan terhadap cadangan dikemukakan JPJ, malah bersedia melaksanakannya.
Katanya, langkah penambahbaikan itu tidak dianggap terlambat kerana pihak penganjur sebelum ini sudah mengambil beberapa tindakan bagi memastikan peserta mematuhi peraturan ditetapkan.
“Namun, ada segelintir ini yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang mencemarkan imej program tersebut.
“Sebenarnya pihak penganjur bila mereka nak buat program ini, mereka memang dah berjumpa dengan JPJ dan juga PDRM sebelum program itu berlangsung,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat beberapa isu yang timbul akibat ketidakpatuhan segelintir peserta.
Sehubungan itu, JPJ mencadangkan supaya proses pendaftaran peserta diperkemas dan dilaksanakan secara lebih menyeluruh bagi memastikan penganjuran program seumpama itu dapat dilaksanakan dengan lebih teratur pada masa akan datang.