Anggota tentera terkena tembakan: Peluru tembus pipi kanan hingga rahang

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai seorang anggota tentera terkena tembakan rakan di lapang sasar.

PORT DICKSON - Seorang anggota Tentera Darat Malaysia cedera selepas terkena tembakan secara tidak sengaja ketika menjalani latihan menembak di Lapang Sasar 75 meter, Menyala, pada Rabu.

Trooper Muhammad Akhmal Shahrudin mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang ketika menjalani latihan persiapan bagi menghadapi pertandingan Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD).

Iklan
Iklan

Tentera Darat menerusi kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku ketika seorang lagi anggota menjalani latihan dry-fire sebelum melepaskan tembakan ke sasaran dari jarak 25 meter.

"Peluru berkenaan terkena bahagian pipi kanan Muhammad Akhmal sebelum menembusi hingga ke bahagian rahang bawah sebelah kiri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Jelas kenyataan itu, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Port Dickson bagi mendapatkan rawatan awal untuk menghentikan pendarahan.

"Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan dalaman dan kini berada dalam keadaan stabil serta diberikan sedatif untuk rawatan lanjut.

Iklan

"Tentera Darat mengambil serius kejadian ini dan siasatan dalaman turut akan dijalankan," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, polis juga akan menjalankan siasatan terperinci bagi menentukan punca serta faktor yang membawa kepada kejadian berkenaan," katanya.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, turut menzahirkan rasa simpati susulan kejadian itu dan mendoakan agar Muhammad Akhmal diberikan kesembuhan serta dipermudahkan urusan rawatan.

Tentera Darat pada masa sama meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus serta adil.